Operasi yang dijalankan mengikut undang-undang China dan Thailand dan peraturan antarabangsa dan amalan ditetapkan, adalah contoh kerjasama berterusan kedua-dua negara untuk menangani aktiviti jenayah rentas sempadan, menurut kementerian itu, lapor Xinhua.
Seorang pegawai kanan MPS menjelaskan individu yang dihantar pulang ditipu oleh organisasi jenayah untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah, akhirnya terkandas di Thailand. "Keluarga mereka berulang kali meminta bantuan kerajaan untuk membawa mereka pulang," kata pegawai itu sambil menegaskan yang penghantaran pulang mencerminkan komitmen China untuk melindungi hak sah rakyatnya.
Pegawai itu seterusnya menegaskan yang hak undang-undang individu yang dihantar pulang dilindungi sepenuhnya sepanjang proses itu dan mereka akan menerima bantuan dalam penyatuan semula ke dalam keluarga dan masyarakat mereka setelah segala prosedur undang-undang yang diperlukan selesai.
"Operasi bersama baru-baru ini antara China dan Thailand membuahkan hasil dalam memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk penipuan telekomunikasi dan internet," kata pegawai itu.
Kedua-dua negara berjanji untuk meluaskan kerjasama penguatkuasaan undang-undang mereka, dengan matlamat untuk melindungi hak sah rakyat dengan lebih baik dan memastikan keselamatan dan kestabilan serantau, menurut pegawai itu.
Pada Khamis juga, Pentadbiran Imigresen Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan yang Kerajaan China dengan tegas membantah kemasukan pendatang tanpa izin dalam apa jua bentuk.
Pihak berkuasa keselamatan awam dan pentadbiran imigresen China akan terus membanteras jenayah rentas sempadan dan mempertanggungjawabkan mereka yang mengatur kemasukan pendatang tanpa izin, menurut agensi itu.
Ia juga berikrar untuk mengukuhkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dengan pihak berkuasa rakan sejawat di negara lain, memastikan laluan rentas sempadan yang selamat dan teratur bagi warganegara China dan asing serta melindungi hak dan kepentingan sah mereka.
--BERNAMA-XINHUA
