PUTRAJAYA: Tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi di kawasan luar pantai Mindanao, Filipina setakat ini, menurut Kementerian Luar.
Kementerian dalam satu kenyataan pada Isnin berkata memandangkan kejadian itu masih di peringkat awal, Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti warganegara Malaysia di kawasan yang terjejas.
“Warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan yang terjejas di Filipina dinasihatkan dengan tegas untuk kekal berwaspada, segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berada berhampiran dengan pantai dan mematuhi sepenuhnya semua arahan pemindahan serta arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina,” menurut kenyataan itu.
Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular yang pantas, warganegara Malaysia digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila secara terus menerusi saluran Kedutaan Besar Malaysia di Manila no.Telefon (Pertanyaan Umum): +63 2 8662 8200 Talian Kecemasan (Luar Waktu Pejabat): +63 961 077 8113 e-mel: [email protected]
Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau dengan rapi perkembangan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda kawasan luar pantai Mindanao, Filipina, pada 7.37 pagi, 8 Jun.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan maklumat terkini berhubung nasihat tsunami setempat bagi kawasan pesisir pantai Sabah susulan insiden itu.
Wisma Putra akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini apabila maklumat yang disahkan diperoleh.
-- BERNAMA