NEW DELHI: Polis India mengesahkan seramai 47 anggota pemberontak Maois telah menyerah diri kepada pihak berkuasa di negeri Telangana, selatan negara itu, pada Sabtu, hampir sebulan selepas India mengumumkan kejayaan menamatkan pemberontakan bersenjata yang berlarutan selama beberapa dekad.
Polis negeri itu memaklumkan, kumpulan pemberontak berkenaan telah memilih untuk “kembali ke arus perdana masyarakat”, sambil menegaskan bahawa hampir semua pemimpin utama Maois yang masih bergerak secara bawah tanah telah berjaya ditewaskan atau dineutralkan.
Advertisement
Penyerahan diri tersebut berlaku susulan kempen keselamatan intensif yang dilancarkan India sejak dua tahun kebelakangan ini bagi membanteras saki-baki pemberontakan Naxalite, yang berakar sejak hampir 60 tahun lalu dan dinamakan sempena sebuah kampung di kaki banjaran Himalaya.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah sebelum ini mengumumkan pada 30 Mac lalu bahawa negara itu kini bebas daripada ancaman Naxalite, sekali gus menandakan berakhirnya konflik bersenjata dalaman paling berpanjangan dalam sejarah moden India.
Sejak kebangkitan pemberontakan itu pada tahun 1967, lebih 12,000 nyawa termasuk pemberontak, anggota keselamatan dan orang awam terkorban, menurut rekod pihak berkuasa.
Pada kemuncaknya sekitar pertengahan tahun 2000-an, kumpulan Maois dianggarkan mempunyai antara 15,000 hingga 20,000 anggota dan menguasai kawasan luas di beberapa negeri India.
Namun, kekuatan mereka semakin merosot sejak kebelakangan ini hasil operasi keselamatan berterusan.
Polis turut menyeru baki anggota pemberontak yang masih bersembunyi agar meletakkan senjata dan menyerah diri, sambil memberi jaminan pemulihan kehidupan secara aman.
Pihak berkuasa memaklumkan, bekas pemberontak yang menyerah diri akan diberikan identiti awam baharu, latihan kemahiran serta sokongan pemulihan bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan normal.
Kesemua 47 bekas anggota Maois itu akan menerima bantuan kewangan keseluruhan sekitar AS$159,000 atau kira-kira AS$3,400 seorang, sebagai sebahagian daripada pakej pemulihan kerajaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengakui satu lagi cabaran besar masih menanti iaitu membersihkan ratusan periuk api buatan sendiri yang ditanam kumpulan Maois di laluan hutan sebelum ini.
Dalam kenyataan lalu, kumpulan Maois mendakwa, perjuangan mereka bertujuan mempertahankan hak masyarakat pribumi dan terpinggir di kawasan hutan kaya mineral di tengah India. - Agensi