KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sarawak, Razali Nordin yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Fadillah mendoakan semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian ini.
Advertisement
“Semoga Allahyarham di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mendapat keredhaan Allah,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Razali, 54, kerap membuat liputan acara yang dihadiri beliau dan merupakan seorang yang sangat komited.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga berkata, kali terakhir beliau berjumpa Allahyarham adalah ketika melawatnya di HUS pada 5 April lepas serta pernah melawat Allahyarham ketika dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah pada Jun 2016.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di laman Facebook turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham Razali Nordin, jurugambar Bernama yang meninggal dunia pagi tadi. Semoga diberi kekuatan berhadapan dugaan ini,” katanya.
Allahyarham yang berasal dari Batu Gajah, Perak dikenali sebagai seorang yang berdedikasi serta komited dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh tiga dekad perkhidmatannya di Bernama.
Razali memulakan kerjaya di ibu pejabat Bernama pada 1996 sebelum bertugas di Biro Sarawak pada 2002, Biro Selangor pada 2004 dan kembali ke ibu pejabat pada 2009 sebelum ditempatkan semula di Biro Sarawak pada 2011 sehingga kini.
Difahamkan beliau menghidap beberapa penyakit kronik termasuk masalah jantung, hati dan buah pinggang.
Keadaan kesihatannya mula merosot sejak Ramadan lalu sehingga beliau terlantar di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya sebelum dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.
Allahyarham sebelum ini juga pernah menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan terhadap pengamal media di bawah Kementerian Komunikasi.
Sepanjang berkhidmat di Bernama, beliau banyak menyumbang kepada kelancaran operasi di biro Sarawak dan disenangi rakan sekerja kerana sikapnya yang peramah serta mudah bekerjasama.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Ratnawaty Abdul Hai serta empat anak.
-- BERNAMA