KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan beras dengan penahanan seorang lelaki serta rampasan 8,500 kilogram beras Siam dalam operasi di Kampung Kubang Batang, Tumpat, semalam.
Komandernya SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi pada 4.30 petang itu, dijalankan anggota Batalion 9 PGA selepas menahan sebuah lori Isuzu yang mencurigakan di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Masjid Air-Rahman.
Advertisement
Beliau berkata hasil pemeriksaan, menemukan guni berisi beras disyaki diseludup dari Thailand.
“Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati suspek menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran mengikut arahan pihak tertentu, termasuk ke Besut, Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata modus operandi yang dikesan melibatkan penggunaan individu tempatan sebagai penghantar dengan bayaran rendah dan dipercayai berkait rangkaian sindiket lebih besar serta terancang.
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan, termasuk lori dan beras, dianggarkan RM114,000.
“Kes dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.
-- BERNAMA