NAIROBI: Sekurang-kurangnya 48 orang maut dalam sebuah kemalangan di Londiani, barat Kenya, selepas sebuah treler yang membawa kontena kapal terbabas dari jalan dan merempuh beberapa kenderaan.

Memetik CNN, pihak berkuasa dan saksi memaklumkan, rakaman selepas kemalangan yang disiarkan oleh penyiar tempatan menunjukkan bangkai kereta dan motosikal bersama dengan bas mini dan trak yang rosak.

Dalam pada itu, seorang pemandu yang terselamat dalam kejadian Peter Otieno memberitahu dia melihat sebuah treler memandu dengan sangat laju.

“Saya berjaya mengelak daripada bertembung. Kereta di belakang menganggap saya ingin membeli sesuatu. Dia memotong saya dan itulah saat dia terlibat dalam kemalangan. Treler itu terbabas dari jalan dan merempuh kenderaan lain," katanya menyaksikan kira-kira 20 mayat di depannya.

Dalam masa sama, Persatuan Palang Merah Kenya berkata, treler itu merempuh lebih daripada enam kenderaan termasuk pejalan kaki.

Sementara itu, Presiden Kenya, William Ruto, dalam ciapannya menyatakan beliau berasa sedih dan seluruh negara turut berduka terhadap keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang dalam kemalangan mengerikan di Londiani itu.

"Satu hal yang mengecewakan bahawa beberapa mangsa yang terkorban adalah golongan muda dengan masa depan yang cerah dan para usahawan yang sedang menjalankan tugas harian mereka,” katanya.

Tahun lalu, Kenya menyaksikan seramai 34 orang terkorban dalam sebuah kemalangan melibatkan sebuah bas terbabas daripada sebuah jambatan lalu terjunam ke lembah sungai.