KINSHASA: Sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di wilayah Ituri, timur laut Republik Demokratik Congo (DRC), menurut sumber keselamatan tempatan.
Serangan itu berlaku pada 28 April lalu apabila pejuang yang dikaitkan dengan gabungan militia Cooperative for the Development of the Congo (CODECO) melancarkan serangan ke atas beberapa buah kampung.
Menurut sumber tempatan dan keselamatan, serangan tersebut dipercayai sebagai tindakan balas selepas kumpulan lain, Convention for the Popular Revolution (CRP), menyerang kedudukan tentera kerajaan berhampiran kawasan Pimbo.
Pemimpin masyarakat sivil, Dieudonne Losa berkata lebih 70 orang terbunuh dalam serangan berkenaan, manakala sumber keselamatan mengesahkan angka korban sekurang-kurangnya 69 orang termasuk anggota militia dan tentera.
Proses mengumpul mayat turut terganggu selama beberapa hari berikutan kehadiran kumpulan bersenjata di kawasan tersebut.
Setakat ini, hanya 25 mayat berjaya dikebumikan, manakala selebihnya belum ditemui.
Sumber kemanusiaan melaporkan terdapat mayat bergelimpangan berhampiran kampung Bassa, antara kawasan yang diserang.
Wilayah Ituri telah lama bergolak akibat konflik antara dua kumpulan etnik utama, Hema dan Lendu, yang bersaing untuk menguasai kawasan kaya emas.
CODECO mendakwa mempertahankan komuniti Lendu, manakala CRP pula berpihak kepada Hema.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui misi MONUSCO mengecam keras serangan terhadap orang awam dan memaklumkan hampir 200 orang sebelum ini berjaya diselamatkan daripada serangan berasingan oleh CRP terhadap tentera kerajaan.
Pertubuhan Ente yang mewakili komuniti Hema turut menyifatkan kejadian itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai” dan menggesa ahli mereka agar tidak bertindak balas bagi mengelakkan keganasan berulang.
Timur DRC yang kaya dengan mineral seperti emas, kobalt dan berlian telah lama menjadi kawasan konflik melibatkan pelbagai kumpulan bersenjata.
Keganasan berterusan itu diburukkan lagi dengan kehadiran kumpulan lain seperti Allied Democratic Forces (ADF) yang dikaitkan dengan ISIL.
Aktivis hak asasi manusia menggesa pihak berkuasa meningkatkan perlindungan terhadap orang awam, memandangkan konflik bersenjata yang berpanjangan terus mengancam keselamatan penduduk di rantau tersebut.