Skip to main content
Advertisement

Dunia

488 keluarga Palestin terjejas akibat pencerobohan berterusan Israel di Hebron

Jumlah keluarga yang terjejas akibat pendudukan berterusan tentera Israel di pelbagai kawasan di Bandar Hebron sejak Jumaat lepas meningkat kepada 488. - Foto REUTERS/Mussa Qawasma
Jumlah keluarga yang terjejas akibat pendudukan berterusan tentera Israel di pelbagai kawasan di Bandar Hebron sejak Jumaat lepas meningkat kepada 488. - Foto REUTERS/Mussa Qawasma

Advertisement

HEBRON: Jumlah keluarga yang terjejas akibat pendudukan berterusan tentera Israel di pelbagai kawasan di Bandar Hebron sejak Jumaat lepas meningkat kepada 488, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Pihak Berkuasa Perbandaran Hebron dalam laporan harian terbaharunya menyatakan bahawa bilangan keluarga yang terjejas serta penduduk yang hilang tempat tinggal meningkat tiga kali ganda sejak hari pertama pencerobohan.

Menurut laporan itu, tentera pendudukan telah memaksa kira-kira 3,171 penduduk meninggalkan kediaman mereka, terutamanya di kawasan Deir Bahha dan Al-Jalda, selain mengepung ratusan yang lain di dalam rumah mereka di kawasan kejiranan berhampiran serta menghalang mereka daripada keluar.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Tindakan Susulan, Sokongan dan Bantuan yang ditubuhkan di bawah Wilayah Hebron telah memulakan pengagihan kumpulan pertama bantuan dan barangan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas atau hilang tempat tinggal akibat operasi ketenteraan yang sedang giat dijalankan di bandar itu.

Jawatankuasa berkenaan menegaskan bahawa bantuan itu merupakan fasa awal dalam usaha melegakan penderitaan dan memberi sokongan kemanusiaan.

Ia berkata kerja-kerja penyelarasan dengan institusi berkaitan terus dijalankan sepanjang masa bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang paling memerlukan, selain mengekalkan sokongan terhadap keluarga terjejas sehingga ketegangan dan operasi ketenteraan di wilayah itu berakhir.

Jawatankuasa terbabit dianggotai institusi kerajaan dan bukan kerajaan, serta wakil sektor swasta, komuniti setempat dan organisasi antarabangsa.

Ia berperanan memantau situasi keluarga yang terjejas, memenuhi keperluan mereka serta menilai tahap kerosakan harta benda yang berlaku.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement