Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Operasi tanda, ukur sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah lancar

Arthur mengadakan lawatan ke Tanda Sempadan B2787 di daerah Pensiangan dan Nabawan bagi meninjau sendiri pelaksanaan tugas pasukan ukur JUPEM di lapangan semalam. - Foto Facebook JUPEM Sabah
Arthur mengadakan lawatan ke Tanda Sempadan B2787 di daerah Pensiangan dan Nabawan bagi meninjau sendiri pelaksanaan tugas pasukan ukur JUPEM di lapangan semalam. - Foto Facebook JUPEM Sabah

Advertisement

Ringkasan AI

  • Operasi penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia–Indonesia di kawasan OBP Sungai Sinapad–Sungai Sesai berjalan lancar hasil kerjasama teknikal kedua-dua negara.
  • Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, meninjau pelaksanaan tugas pasukan ukur di Tanda Sempadan B2787, Pensiangan dan Nabawan.
  • Operasi ini mencerminkan komitmen Malaysia memastikan urusan sempadan antarabangsa diselesaikan berlandaskan persetujuan bersama dan ketepatan data teknikal.

KOTA KINABALU: Operasi penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa Malaysia–Indonesia di kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) Sungai Sinapad–Sungai Sesai berjalan lancar menerusi kerjasama erat pasukan teknikal kedua-dua negara, menurut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Sabah.

Menerusi kenyataan di Facebook, JUPEM Sabah memaklumkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah mengadakan lawatan ke Tanda Sempadan B2787 itu yang terletak di daerah Pensiangan dan Nabawan bagi meninjau sendiri pelaksanaan tugas pasukan ukur di lapangan pada Isnin.

Menurut JUPEM Sabah, lawatan kerja berkenaan memberi peluang menyaksikan secara dekat cabaran operasi persempadanan di pedalaman yang merangkumi faktor rupa bumi berbukit, persekitaran hutan tebal serta ketelitian teknikal tinggi yang dituntut dalam menjayakan misi penandaan sempadan negara.

"Pasukan lapangan turut berdepan pelbagai cabaran teknikal di kawasan pedalaman Nabawan yang memerlukan ukuran jitu dan penelitian terperinci bagi memastikan penentuan titik sempadan dilakukan tanpa sebarang ralat teknikal.

"Antara aktiviti utama yang dilaksanakan di lokasi berkenaan ialah kerja-kerja mencabut tanda sempadan lama sebagai sebahagian daripada pelaksanaan persetujuan persempadanan Malaysia–Indonesia yang telah dimuktamadkan secara rasmi pada 18 Feb 2025," menurut kenyataan itu.

Menurut JUPEM Sabah, pelaksanaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia bagi memastikan urusan sempadan antarabangsa diselesaikan berlandaskan persetujuan bersama, ketepatan data teknikal serta hubungan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara.

Operasi lapangan berkenaan diterajui Bahagian Pemetaan Topografi Sabah di bawah JUPEM dengan kerjasama erat pasukan ukur Indonesia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pelbagai agensi sokongan serta komuniti setempat.

JUPEM Sabah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pasukan yang berkhidmat jauh di kawasan pedalaman demi melaksanakan amanah negara serta mempertahankan kedaulatan tanah air.

"Di sebalik setiap garisan sempadan pada peta, tersimpan ketelitian, pengorbanan dan tanggungjawab besar dalam mempertahankan kedaulatan negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement