LIMA dilaporkan cedera dalam serangan pada Sabtu malam di sebuah rumah yang dihuni komuniti Yahudi di New York, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, hanya seorang dilaporkan parah, manakala empat yang lain tidak mengalami kecederaan serius, dalam kejadian yang berlaku ketika perayaan Hannukah itu.

Suspek yang bertindak melarikan diri selepas serangan di kediaman rabbi itu kemudiannya berjaya ditangkap di Manhattan.

Ketua Polis Ramapo, Brad Weidel berkata, suspek Grafton E. Thomas, 37 tahun, bakal berdepan lima pertuduhan cubaan membunuh.

Setakat ini, polis menyifatkannya serangan bermotif kebencian.

Presiden AS Donald Trump dalam reaksinya di Twitter turut mengutuk serangan berkenaan.


Sementara itu, pegawai penyiasat giat menjalankan siasatan di kawasan rumah suspek terbabit bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung serangan.

Thomas dilaporkan tinggal bersama ibunya di Greenwood Lake, New York.

Anggota polis menjalankan kerja-kerja penyiasatan di kediaman rabbi di Monsey, New York, awal pagi Ahad, 29 Dis, 2019, susulan kejadian tikaman semasa perayaan Hanukkah pada Sabtu. (Foto AP)

Bagaimanapun, pihak pendakwa gagal menghubungi nombor telefon yang tertera pada alamatnya.

Beberapa individu turut berkumpul di kawasan rumah suspek, meluahkan bantahan terhadap insiden itu.

Terdahulu, suspek dilaporkan menyerbu masuk ke kediaman rabbi di Monsey, New York, yang dipenuhi penganut Yahudi.