PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 50,000 wanita hamil kini tinggal di Gaza dengan lebih daripada 180 kelahiran berlaku setiap hari di tengah-tengah "kehancuran" sistem penjagaan kesihatannya.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Agensi Bantuan Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, doktor dan bidan sedang melakukan segala yang mungkin untuk menyediakan penjagaan wanita hamil selepas bersalin.

Terdapat hanya tujuh daripada 22 pusat kesihatan UNRWA beroperasi untuk menangani kes wanita melahirkan anak sejak 7 Oktober selepas operasi berdarah Israel ke atas Gaza bermula.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam "kehancuran" sistem kesihatan Gaza sambil memuji profesional kesihatan di sana kerana terus bekerja dalam keadaan yang extrem.

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kemusnahan sistem kesihatan di Gaza adalah satu tragedi.

Tegasnya, walaupun menghadapi ketidakamanan yang berterusan, doktor, jururawat, pemandu ambulans dan kakitangan hospital terus berusaha menyelamatkan nyawa.

Justeru, beliau mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera dilakukan.

Agensi itu memberi amaran walaupun keperluan penjagaan kesihatan meningkat, hanya 38 peratus katil hospital prakonflik kekal tersedia di wilayah Palestin dan hanya 30 peratus kakitangan kesihatan asal masih bekerja.

Pada masa yang sama, hospital yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa telah berulang kali dilanda serangan Israel sejak perang meletus.

Setakat 20 Disember, WHO mencatatkan 246 serangan Israel ke atas infrastruktur penjagaan kesihatan di Gaza, termasuk hospital dan ambulans.

Badan PBB itu berkata, hanya sembilan daripada 36 hospital berfungsi sebahagiannya di seluruh wilayah yang dikepung.

Kira-kira 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipindahkan ke selatan dengan berpuluh-puluh ribu bersesak di sekolah PBB atau berlindung daripada kesejukan di dalam khemah sementara.