Skip to main content

Dunia

72 harimau di Chiang Mai mati akibat wabak misteri

51738399726_HarimauPhnomPenh.jpg
Kematian berlaku antara 8 hingga 19 Feb, melibatkan 21 ekor harimau di Tiger Kingdom Mae Rim dan 51 ekor lagi di sebuah kemudahan di Mae Taeng. -Gambar hiasan

CHIANG MAI: Pihak berkuasa Thailand sedang mempergiat usaha membendung penularan wabak misteri yang meragut nyawa 72 ekor harimau dalam kurungan di dua pusat pelancongan utama di sini sejak awal Februari.

Pejabat Kawasan Perlindungan 16 (Chiang Mai) dalam satu kenyataan mengesahkan kematian tersebut berlaku antara 8 hingga 19 Feb, melibatkan 21 ekor harimau di Tiger Kingdom Mae Rim dan 51 ekor lagi di sebuah kemudahan di Mae Taeng, lapor Nation Thailand.

Advertisement

Susulan insiden itu, Tiger Kingdom Mae Rim diarahkan tutup selama 14 hari bagi membolehkan proses sanitasi dan pembasmian kuman secara menyeluruh dijalankan.

Siasatan awal oleh Jabatan Pembangunan Penternakan bersama Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Chiang Mai mendapati haiwan berkenaan positif virus Canine Distemper (CDV) serta jangkitan bakteria Mycoplasma spp yang mengakibatkan radang paru-paru kronik.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Penternakan, Somchuan Ratanamungklanon berkata, ujian makmal menolak kemungkinan kaitan dengan selesema burung selepas tiada bahan genetik influenza A dikesan.

"Langkah kawalan segera telah dilaksanakan merangkumi pembersihan intensif, pengasingan harimau bergejala serta pemberian vaksin kepada harimau yang masih sihat.

"Harimau yang terselamat kini dikuarantin di pusat penjagaan Mae Taeng untuk pemantauan rapi," kata Ratanamungklanon.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang awam bahawa virus CDV tidak menjangkiti manusia.

Pakar veterinar berpandangan komplikasi kesihatan haiwan tersebut berkemungkinan diburukkan lagi oleh faktor pembiakbakaan rapat (inbreeding) yang melemahkan sistem imuniti semula jadi harimau dalam kurungan.

Selain jangkitan virus, pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan faktor pencemaran makanan berikutan dakwaan penggunaan daging ayam mentah daripada pembekal luar, namun keputusan penuh makmal masih ditunggu.

Proses penyemburan pembasmi kuman kini dijalankan di kedua-dua lokasi, yang turut ditutup sepenuhnya kepada orang awam sementara ujian makmal diteruskan.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan komuniti konservasi antarabangsa memandangkan Tiger Kingdom merupakan destinasi popular yang membenarkan interaksi rapat antara pelancong dan harimau.

Kejadian ini turut mengingatkan kembali tragedi 2004, apabila 147 ekor harimau mati atau terpaksa dibunuh akibat selesema burung di Sriracha Tiger Zoo, serta kes kematian harimau di Vietnam pada 2024 susulan serangan virus lain.

Pihak berkuasa Thailand dijangka mengumumkan perkembangan lanjut selepas keputusan makmal penuh dikeluarkan, manakala pemantauan kesihatan harimau yang terselamat diteruskan bagi mengelakkan kematian tambahan atau risiko penularan berulang.

 

 

Must Watch Video