KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara mula perlahan setakat tengah hari ini susulan peningkatan jumlah kenderaan dengan jangkaan berlaku kelewatan di beberapa lokasi.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) E1 ke arah utara, trafik mula perlahan di Perai ke Juru, Sungai Perak (kilometer 258.5) ke Terowong Meru dan Gopeng ke Tapah.
Advertisement
“Di PLUS E2, trafik mula perlahan ke arah utara dari Senawang ke Port Dickson,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata trafik perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) E8 ke arah barat, iaitu di Bentong ke Lentang dan Lentang ke Bukit Tinggi.
Beliau berkata trafik di Tambak Johor menghala ke selatan juga bergerak perlahan dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar, Johor Bahru ke CIQ Woodlands, Singapura.
Sebanyak 32 lorong pintar diaktifkan di sepanjang Lebuhraya PLUS hari ini bagi memastikan trafik kekal lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian 1-800-88-7752 selama 24 jam dan laman X @plustrafik serta @llmtrafik.
-- BERNAMA