Lapan orang cedera apabila dua bom meletup di kawasan berasingan di ibu kota Columbia, Bogota pada Khamis.

Pihak berkuasa berkata kedua-dua serangan itu dipercayai disasarkan kepada sebuah syarikat kumpulan wang persaraan swasta iaitu Porvenir.

Walau bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Setiausaha Pertahanan, Luis Carlos Villegas berkata letupan itu bertujuan menakut-nakutkan orang ramai selain menggelarkan mereka sebagai pengganas.

Menurut setiausaha kesihatan bandar Mauricio Bustamante, tujuh cedera apabila letupan pertama berlaku di pejabat Porvenir yang terletak di daerah kewangan di Bogota.

Mangsa kelapan cedera dari letupan kedua yang berlaku di cawangan Porvenir di kawasan Puente Aranda, arah barat bandar tersebut.

Pejabat Presiden Manuel Santos berkata beliau akan pulang awal dari persidangan perdagangan di Peru bagi menyelia siasatan.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Insiden dikatakan berlaku semasa ketegangan di antara kerajaan dan pergerakan pemberontak terbesar Colombia iaitu Angkatan Tentera Revolusi Colombia (FARC).

Konflik selama lima dekad kian memuncak apabila kedua-dua pihak melancarkan beberapa siri serangan sejak beberapa minggu kebelakangan.

Ia sekali gus mencemarkan rundingan damai yang dimeterai dua tahun lalu di Cuba.

Walaupun spekulasi menyebut bahawa serangan tersebut dirancang oleh FARC, namun tiada bukti yang boleh mengaitkannya dengan kumpulan pemberontak itu.

Kumpulan penjenayah di Colombia gemar meledakkan bahan letupan kecil sebagai satu cara untuk menakut-nakutkan sasaran atau memeras ugut.