KOTA KINABALU: Pengamal media perlu terus mempertahankan ketepatan dan kesahihan fakta meskipun dunia kewartawanan kini berdepan perubahan pantas akibat revolusi digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, transformasi digital membuka peluang besar kepada industri media termasuk menerusi kewujudan platform baharu untuk penyampaian berita selain penggunaan AI bagi membantu tugasan rutin wartawan.
Namun, Hajiji berkata perkembangan itu turut membawa cabaran besar kepada dunia kewartawanan, khususnya dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat kekal tepat, sahih dan berintegriti.
“Dari satu sudut, transformasi digital ini membawa peluang luar biasa. Platform baharu untuk penyampaian berita dan AI untuk membantu kerja rutin wartawan.
“Dari sudut lain, ia turut membawa cabaran besar. Walaupun kepantasan berita menjadi keutamaan, ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi,” katanya dalam ucapan pada majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026, di sini, pada malam Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, pengamal media perlu terus menjalankan tugas dengan penuh integriti berlandaskan prinsip kewartawanan profesional dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, media memainkan peranan amat besar dalam pembangunan negara dengan penulisan rencana dan analisis yang dihasilkan pengamal media turut membuka minda rakyat serta memacu pemikiran kritikal dalam kalangan masyarakat.
Pengamal media juga. katanya. perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara dasar kerajaan dan rakyat supaya setiap keputusan dasar serta hala tuju kerajaan dapat disampaikan dengan jelas kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti, demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran KPA diharap menjadi pemangkin semangat kepada pengamal media untuk terus menghasilkan karya kewartawanan berkualiti tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
-- BERNAMA