84 peratus penduduk Singapura terdedah kepada kandungan berbahaya dalam talian - Tinjauan

Kerajaan mengambil langkah perundangan untuk melindungi rakyat Singapura daripada bahaya dalam talian, termasuk pengenalan Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian - Perkhidmatan Media Sosial.
SINGAPURA: Lebih empat daripada lima (84 peratus) penduduk Singapura dilaporkan terdedah kepada kandungan berbahaya dalam talian sepanjang tahun lepas, manakala seorang daripada tiga (33 peratus) mengalami tingkah laku berbahaya dalam talian.
Dapatan itu antara hasil utama Tinjauan Persepsi Digitalisasi dan Tinjauan Persepsi Dasar Negara Pintar yang dijalankan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) awal tahun ini.
"Kandungan berbahaya yang paling kerap ditemukan oleh responden ialah kandungan yang menyokong aktiviti haram seperti penipuan, kandungan berunsur seksual atau ganas, buli siber, serta bahan yang mencetuskan ketegangan kaum atau agama," kata MDDI dalam satu kenyataan semalam.
Responden paling kerap menemukan kandungan berbahaya itu di platform Facebook (57 peratus), YouTube (46 peratus) dan Instagram (41 peratus), selain dalam aplikasi pesanan seperti WhatsApp (38 peratus) dan Telegram (22 peratus).Sementara itu, penyamaran identiti dalam talian atau catfishing dilaporkan sebagai bentuk tingkah laku berbahaya yang paling biasa, terutamanya di WhatsApp (56 peratus) dan Facebook (41 peratus).
Ia diikuti dengan insiden mesej seksual yang tidak diingini (27 peratus) dan gangguan dalam talian (16 peratus).
MDDI turut memaklumkan bahawa dua daripada tiga (62 peratus) responden dalam Tinjauan Persepsi Dasar Negara Pintar menyokong peraturan yang lebih ketat untuk melindungi pengguna daripada bahaya dalam talian, walaupun ia mungkin mengehadkan kebebasan pengguna di ruang siber.
Menurut kementerian itu, kerajaan telah mengambil langkah perundangan untuk melindungi rakyat Singapura daripada bahaya dalam talian, termasuk pengenalan Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian - Perkhidmatan Media Sosial, yang mengkehendaki penyedia perkhidmatan media sosial yang ditetapkan melaksanakan sistem dan proses bagi menghalang pengguna Singapura, khususnya kanak-kanak, daripada mengakses kandungan berbahaya.
Kedua-dua tinjauan itu dijalankan melibatkan 2,008 warganegara Singapura dan penduduk tetap berumur 15 tahun ke atas, dengan sampel yang mewakili populasi dari segi jantina, umur dan kaum.
Tinjauan Persepsi Digitalisasi dijalankan antara November 2024 dan Februari 2025, manakala Tinjauan Persepsi Dasar Negara Pintar dilaksanakan dari Mac hingga Mei tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami