KUALA LUMPUR: Israel sengaja melancarkan serangan ke atas Lubnan bagi mengganggu rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata, tindakan itu bagi memastikan misi ‘Israel Raya’ dapat diteruskan.
“Setakat ini, kalau kita lihat perjanjian damai tersebut, mereka baru sahaja menggariskan kerangka perbincangan. Ini belum menyentuh mengenai perkara-perkara yang dipersetujui.
“Perjanjian ini akan ambil masa yang sangat lama (untuk dimuktamadkan). Perkara ini yang dikehendaki oleh Israel. Israel tambah rencah dan kekusutan dengan meluaskan serangan di Lubnan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr. Ahmad Badri Abdullah pula berpandangan, Iran berdepan dengan situasi sukar untuk memastikan perjanjian gencatan senjata perlu dicapai, sekurang-kurangnya kesepakatan terbatas.
“Daripada segi yang berbeza, Iran juga berdepan dengan gangguan ekonomi, sekatan tenaga dan sebagainya. Mereka ada keperluan untuk capai sekurang-kuranya perjanjian gencatan sementara dengan AS.
“Mungkin Iran secara retorik akan terus berpendirian keras (terhadap serangan Israel di Lubnan), tetapi pada masa yang sama masih buka ruang kepada perjanjian bersifat terhad dengan AS. Ini akan beri kelegaan sementara kepada ekonomi Iran tanpa mengorbankan pengaruh serantau Iran,” jelasnya.
Pada 29 Mei lepas, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan tenteranya telah menguasi beberapa kawasan strategik di selamat Lubnan berdekatan Sungai Litani. Media antarabangsa melaporkan, rejim haram itu dilihat cuba meluaskan lagi pencerobohan ke atas Lubnan sehingga Sungai Zahrani.
Aljazeera melaporkan, tentera zionis kini telah menguasai kira-kira 2,000 kilometer persegi wilayah Lubnan bersamaan hampir satu perlima daripada negara itu.
Agenda AWANI: Israel Serang Lubnan, Jejas Pelan Damai Iran-AS?