Skip to main content

Dunia

Jualan kenderaan elektrik di Australia catat rekod tertinggi

51654081884_keretaelektrik.jpg
FCAI berkata dengan mengambil kira kenderaan hibrid dan "hibrid plug-in", keseluruhan kenderaan elektrik menyumbang 46 peratus daripada jualan kenderaan baharu pada Mei. - Gambar hiasan

CANBERRA: Jualan kenderaan elektrik (EV) di Australia mencatat rekod tertinggi baharu pada Mei, menurut data terkini yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Xinhua.

Data jualan bulanan yang diterbitkan oleh Dewan Persekutuan Industri Automotif (FCAI) menunjukkan EV berkuasa bateri menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan baharu di seluruh negara pada Mei, meningkat daripada rekod sebelumnya iaitu 16.4 peratus yang dicatatkan pada April.

FCAI berkata dengan mengambil kira kenderaan hibrid dan "hibrid plug-in", keseluruhan kenderaan elektrik menyumbang 46 peratus daripada jualan kenderaan baharu pada Mei.

Ketua Pegawai Eksekutif FCAI Tony Weber berkata peralihan kepada kenderaan elektrik amat ketara dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), apabila jualan EV dalam kategori itu meningkat 167 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata jualan SUV "hibrid plug-in" turut melonjak 377 peratus, manakala jualan SUV berkuasa petrol merosot 31 peratus dalam tempoh yang sama.

Pengeluar utama dari China, BYD, menjual 8,211 kenderaan baharu di Australia pada Mei, meningkat 155 peratus berbanding Mei 2025.

Sehingga akhir Mei, BYD bersama pengeluar China lain iaitu GWM dan Chery menjual sebanyak 78,168 kenderaan baharu di Australia pada 2026, meningkat berbanding 46,023 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lepas.

Toyota kekal sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Australia pada Mei, namun jualannya menurun daripada 100,753 unit dalam tempoh lima bulan pertama 2025 kepada 76,017 unit bagi tempoh yang sama tahun ini.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement