MANILA: Bencana berkaitan iklim menyebabkan 9.7 juta kanak-kanak di Filipina hilang tempat tinggal dari 2016 hingga 2021, menjadikan negara Asia Tenggara itu sebagai pusat krisis, menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat, lapor Xinhua.

Laporan Kanak-kanak Hilang Tempat Tinggal dalam Perubahan Iklim ialah analisis global pertama tentang jumlah kanak-kanak yang terpaksa keluar dari rumah mereka antara 2016 dan 2021 akibat banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan. Ia melihat unjuran untuk 30 tahun akan datang.

Kajian itu menunjukkan 43.1 juta kanak-kanak di 44 negara dalam tempoh enam tahun atau kira-kira 20,000 kanak-kanak berpindah setiap hari.

Mengenai bahaya, Filipina menduduki tempat pertama untuk ribut dan ketiga untuk banjir dalam jumlah mutlak kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal. Purata 20 taufan membadai kepulauan itu setiap tahun.

"Kanak-kanak adalah antara mereka yang paling menderita apabila mereka kehilangan tempat tinggal semasa bencana. Mereka mengalami tekanan, kehilangan hari persekolahan, jatuh sakit dan menjadi lebih terdedah kepada eksploitasi dan penderaan," kata wakil UNICEF ke Filipina Oyunsaikhan Dendevnorov.

Beliau menekankan keperluan untuk mengukuhkan usaha untuk melindungi kanak-kanak berisiko dan menyokong mereka yang hilang tempat tinggal.

Dianggarkan kira-kira 2.5 juta kanak-kanak di seluruh Filipina berisiko kehilangan tempat tinggal akibat gelombang ribut dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Risiko itu diburukkan lagi oleh garis pantai Filipina yang sangat terdedah kepada gelombang ribut, dan ia boleh memberi kesan kepada bandar yang padat penduduk seperti Metro Manila, wilayah Cebu di tengah Filipina dan Davao di selatan Filipina.

Menurut laporan itu, Filipina mempunyai sistem yang kukuh untuk mencegah dan bertindak balas terhadap bencana, termasuk sistem pemantauan, amaran awal, protokol pemindahan,dan tempat perlindungan yang tersedia.

--BERNAMA-XINHUA