96 peratus orang dewasa di Indonesia tidak aktif secara fizikal

Data Oktober menunjukkan risiko berkaitan gaya hidup yang berterusan dengan hampir 96 peratus orang dewasa di Indonesia didapati tidak aktif secara fizikal. - Reuters
JAKARTA: Program saringan kesihatan percuma di seluruh Indonesia tahun ini yang disertai lebih 50.5 juta orang telah mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada 285 juta penduduk negara itu kurang melakukan aktiviti fizikal serta mengalami pelbagai masalah kesihatan utama, menurut Kementerian Kesihatan.
Dilancarkan oleh Presiden Prabowo Subianto, Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma itu berlangsung dari 10 Feb hingga 4 Nov dan mencatatkan penyertaan luar biasa dengan 53.6 juta orang mendaftar di seluruh negara sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kesihatan dalam kalangan rakyat republik berkenaan.
Data Oktober itu menunjukkan risiko berkaitan gaya hidup yang berterusan dengan hampir 96 peratus orang dewasa didapati tidak aktif secara fizikal, 41.9 peratus mempunyai masalah karies gigi, 32.9 peratus mengalami obesiti pusat dan 24.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan atau obes, menurut laporan kementerian itu.
"Penyertaan lebih 50 juta orang merupakan pencapaian penting dalam usaha kesihatan negara, namun data ini juga menjadi peringatan bahawa aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat mesti dijadikan keutamaan bersama," kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.
Menurut kementerian itu, pemeriksaan ke atas kumpulan umur lain turut menunjukkan corak serupa, dengan 18.6 peratus bayi baru lahir berisiko mengalami gangguan saluran hempedu, 6.1 peratus mempunyai berat lahir rendah dan 5.5 peratus menghidap penyakit jantung kongenital kritikal.
Dalam kalangan kanak-kanak bertatih dan prasekolah, data menunjukkan 31.5 peratus mengalami masalah kesihatan gigi, 5.3 peratus terbantut dan 3.8 peratus mengalami susut berat badan atau kekurangan zat makanan akut.
Bagi remaja, 60.1 peratus didapati tidak aktif secara fizikal, 50.3 peratus mengalami karies gigi dan 27.2 peratus menghidap anemia manakala 96.7 peratus warga emas tidak aktif dan 37.7 peratus menghidap hipertensi.
Budi berkata dapatan itu akan dijadikan panduan bagi memperkukuh dasar pencegahan kesihatan dan kempen bagi mempromosikan gaya hidup aktif.
"Kita mahu rakyat bukan sahaja pulih daripada penyakit, tetapi kekal sihat untuk jangka panjang," katanya sambil menambah bahawa kejayaan program itu adalah hasil sokongan petugas perubatan, klinik komuniti dan kerajaan tempatan di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


