WASHINGTON: Laporan oleh satu kumpulan Islam di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa majoriti nama dalam senarai pemantauan FBI, atau lebih daripada 98 peratus, terdiri daripada nama orang Islam.

Laporan bertajuk "Twenty Years Too Many, A Call to Stop the Secret Watchlist FBI," memperincikan FBI menggunakan Pangkalan Data Saringan Keganasan, yang dikatakan menyasarkan umat Islam.

Ia dikeluarkan oleh Council on American-Islamic Relations (CAIR) pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Selepas diberikan senarai FBI versi 2019 oleh penggodam Switzerland yang menemukannya dalam talian berikutan penyiarannya secara tidak sengaja oleh syarikat penerbangan serantau, CAIR menjalankan analisis komprehensif terhadap lebih 1.5 juta nama yang tersenarai.

"Lebih 350,000 nama termasuk beberapa transliterasi Mohamed atau Ali atau Mahmoud dengan 50 nama yang paling kerap muncul membabitkan nama orang Islam.

"Daripada entri senarai pantau yang disemak, kami menganggarkan lebih 1.47 juta daripada nama itu melibatkan orang Islam -- lebih 98 peratus daripada jumlah keseluruhan," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut selama 20 tahun, senarai rahsia FBI telah menimbulkan kesukaran dan ketakutan kepada masyarakat Islam.

"Tetapi sejuta sasaran FBI seterusnya bukanlah orang Islam. Berikutan Perang Melawan Keganasan semakin berakhir, senarai rahsia FBI suatu hari nanti akan mencari sasaran baharu. Sasaran seterusnya ialah rakan senegara kita rakyat Amerika dan laporan ini merupakan amaran kepada mereka," menurut laporan itu.

Kumpulan Islam itu juga menggesa Presiden Joe Biden supaya mengambil tindakan untuk menangani senarai pantau itu.

Individu dalam senarai pemantauan berhadapan pelbagai cabaran, termasuk sekatan perjalanan, isu imigresen, berhadapan siasatan FBI, keganasan polis, kesukaran mendapatkan permit dan lesen, kesan profesional serta akses terhad ke bangunan kerajaan.

Dalam kejadian baru-baru ini yang melibatkan akses ke bangunan kerajaan, Datuk Bandar Mohamed Khairullah dari Prospect Park, New Jersey tidak diundang oleh Perkhidmatan Rahsia untuk menghadiri sambutan Aidilfitri di Rumah Putih.

Beliau tidak dijemput kerana namanya terdapat dalam senarai pantauan FBI.

-- BERNAMA