Skip to main content

Malaysia

Syed Ali gesa tindakan segera terhadap penghinaan institusi beraja

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali berkata, tindakan pantas penting bagi menyekat penularan berita palsu dan kandungan melampau menerusi media sosial termasuk aplikasi TikTok. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap mana-mana individu yang didapati menghina, mempertikai atau mempersendakan kedudukan Sultan serta Raja-Raja Melayu tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat terlebih dahulu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan pantas penting bagi menyekat penularan berita palsu dan kandungan melampau menerusi media sosial termasuk aplikasi TikTok.

Beliau berkata, kelewatan bertindak dikhuatiri menyebabkan perbuatan menghina institusi kesultanan Melayu dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat.

“Jika pihak berkuasa lambat bertindak dan sekadar melihat serta menunggu laporan polis dibuat, saya khuatir perbuatan jahat dan pencercaan terhadap institusi kesultanan Melayu akhirnya dianggap satu kebiasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Ali berkata, keadaan itu juga boleh menyebabkan generasi muda yang hidup dalam era teknologi maklumat semakin hilang rasa hormat dan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam prinsip Rukun Negara.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan undang-undang terhadap individu terlibat dapat disegerakan tanpa mengira fahaman atau kepentingan politik.

“Saya juga bimbang jika pihak berkuasa lambat bertindak dan hanya menunggu laporan dibuat, akan timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa di negara ini membudayakan ‘undang-undang terpilih’ dan tindakan lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement