Skip to main content

Malaysia

CeIO 'mata dan telinga SPRM, salur lebih 200 maklumat rasuah dalam tempoh dua tahun

[TB]_Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Karunanithy Y. Subbiah_SPRM
Menurut Karunanithy, bagi tahun 2024 sahaja, sebanyak 96 maklumat diterima daripada pegawai CeIO yang membawa kepada 66 tangkapan serta 378 pertuduhan.

KUALA LUMPUR: Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) terus membuktikan keberkesanannya apabila menjadi antara saluran penting kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Karunanithy Y. Subbiah berkata, bagi tahun 2024 sahaja, sebanyak 96 maklumat diterima daripada pegawai CeIO yang membawa kepada 66 tangkapan serta 378 pertuduhan.

Menurut beliau, jumlah pertuduhan yang tinggi itu menunjukkan seorang suspek boleh berdepan beberapa pertuduhan hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Ini menunjukkan pegawai CeIO bukan sekadar menjalankan tugas pematuhan dan pencegahan, tetapi turut memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dalam agensi masing-masing.

“Mereka berada dalam organisasi, memahami operasi dalaman dan membantu menyalurkan maklumat kepada bahagian operasi SPRM,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun 2025 setakat ini pula, sebanyak 104 maklumat telah diterima yang membawa kepada 33 tangkapan dan 12 pertuduhan.

Katanya, peningkatan jumlah maklumat yang diterima menunjukkan kesedaran terhadap integriti dan keberanian untuk melaporkan salah laku semakin meningkat dalam kalangan organisasi.

Dalam masa sama, beliau berkata, pegawai CeIO yang ditempatkan di agensi berisiko tinggi turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan program pencegahan rasuah serta memperkukuh budaya tadbir urus dan integriti di peringkat organisasi.

Menurutnya, bagi sektor swasta pula, peranan CeIO lebih tertumpu kepada aspek pematuhan korporat dan pengukuhan sistem tadbir urus syarikat.

Karunanithy memaklumkan, seramai 3,333 pegawai telah ditauliahkan menerusi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sejak diperkenalkan pada 2010 sekali gus membuktikan kesinambungan serta kepentingan program itu dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur.

Must Watch Video

Advertisement