Adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengancam mengenakan tindakan ketenteraan terhadap Korea Selatan kerana didakwa gagal menghentikan propaganda anti-Pyongyang.

Krisis di antara kedua-dua Korea itu semakin memuncak susulan tindakan warga Korea Utara yang berpaling tadah dan menghantar propaganda dan makanan dari kediaman baharu mereka di Korea Selatan.

Kim Yo-jong yang menganggap Korea Selatan sebagai 'musuh' mengulangi ancaman yang menyatakan Seoul bakal menyaksikan keruntuhan pejabat perhubungan dua Korea di bandar sempadan Kaesong.

Yo-jong, yang merupakan Naib Pengarah Jabatan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja, berkata dia akan menyerahkan kepada pemimpin tentera Korea Utara untuk melakukan tindakan balas terhadap Korea Selatan.

"Dengan kuasa diberikan pemimpin tertinggi, parti dan negara, saya mengarahkan jabatan bertanggungjawab secara tegas melakukan tindakan selanjutnya ke atas musuh.

"Sekiranya saya memberikan sedikit gambaran mengenai rancangan ini, pihak berkuasa (Korea Selatan) akan berasa cemas.

"Hak untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap musuh (Korea Selatan) akan diserahkan kepada Staf Umum tentera kita.

"Tentera kita juga akan menentukan suatu tindakan untuk menenangkan kebencian rakyat kita dan pasti akan melaksanakannya," kata Yo-jong.