Pengiktirafan sijil pendidikan termasuk UEC perlu dinilai secara menyeluruh - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata isu itu tidak wajar dijadikan bahan politik semata-mata kerana pendekatan sedemikian boleh menjejaskan objektif dan hala tuju pembangunan pendidikan negara. - Gambar fail/BERNAMA
SERDANG: Sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan sijil pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu dinilai secara menyeluruh dan objektif dalam kerangka sistem pendidikan negara sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata isu itu tidak wajar dijadikan bahan politik semata-mata kerana pendekatan sedemikian boleh menjejaskan objektif dan hala tuju pembangunan pendidikan negara.
Beliau berkata isu melibatkan pelbagai jenis sijil tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keseluruhan ekosistem pendidikan sedia ada, termasuk aspek bahasa, sejarah dan sebagainya.
"Perbincangan mengenai apa-apa sijil hendaklah dilihat dalam konteks sistem kita yang ada, termasuk dari segi bahasa dan sejarah, dan bukan dibawa kepada perlawanan atau permainan politik yang keterlaluan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian dan Training of Trainers (ToT) Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Zambry berkata pendekatan beremosi dalam membahaskan isu pendidikan hanya akan mengaburkan penilaian terhadap objektif sebenar yang perlu diberi keutamaan, iaitu pembangunan sistem pendidikan negara yang seimbang dan berteraskan kepentingan nasional.
Meskipun perkara itu tidak dibincang secara terperinci, namun beliau berpendapat isu itu tidak harus dijadikan sebagai bahan politik semata-mata yang akhirnya menjurus kepada perbahasan politik.
"Apabila berlakunya begitu, ia akan turut serta dengan soal emosi dan sebagainya. Hal-hal yang sebegini hendaklah dilihat dalam konteks Perlembagaan, asas pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara untuk membina sebuah sistem pendidikan yang berteraskan kepada negara kita," katanya.
Pada 12 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata sebarang tuntutan soal bahasa sama ada bahasa Inggeris atau pengiktirafan UEC yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


