ADMM-Plus ke-12: Malaysia catat sejarah, Filipina sambung legasi ASEAN

Mohamed Khaled (tengah) ketika di Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto MINDEF
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 menutup tirai pada Sabtu, sekali gus menandakan ulang tahun ke-15 platform kerjasama pertahanan terbesar di rantau ini.
Ringkasan AI
- Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 menutup tirai pada Sabtu, sekali gus menandakan ulang tahun ke-15 platform kerjasama pertahanan terbesar di rantau ini.
- Dalam ucapan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menekankan bahawa semangat kerjasama dan kekeluargaan ASEAN terus menjadi teras kepada kejayaan penganjuran tahun ini.
- Beliau turut menegaskan, kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ADMM tahun ini dicapai melalui 20 inisiatif penting, jumlah tertinggi dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.

Mohamed Khaled ketika memberi ucapan penutup bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 . - Foto MINDEF
Beliau turut menegaskan, kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ADMM tahun ini dicapai melalui 20 inisiatif penting, jumlah tertinggi dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.
“Saya amat bangga dengan apa yang telah kita capai bersama. Mesyuarat tahun ini bukan sahaja produktif, malah telah melampaui jangkaan kita.
“Sejak Malaysia memegang jawatan pengerusi, kita telah menandatangani dan mengguna pakai 20 inisiatif penting, jumlah terbesar dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN, rakan kongsi ASEAN serta Sekretariat ASEAN atas sokongan padu, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN bersama Rakan Dialog (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Malaysia catat sejarah sebagai Pengerusi ADMM tahun ini selepas 20 inisiatif penting dicapai menjadikan jumlah tertinggi dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus. - Foto MINDEF
Tambah Mohamed Khaled, kejayaan mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus tahun ini bukan milik Malaysia semata-mata, sebaliknya adalah kejayaan ASEAN.
Mesyuarat kali ini turut menghimpunkan 603 delegasi dari 19 negara, menjadikannya platform penting dalam membentuk gagasan keselamatan serantau yang lebih inklusif dan berkesan.
“Malaysia telah meneruskan perjalanan penting itu dengan menambah batu asas kita sendiri kepada sebuah struktur yang menjadi milik kita semua. Tetapi kita harus mengakui, kita tidak boleh melakukan keajaiban. Setahun tidak cukup untuk mencapai segala-galanya.
“Yang penting ialah kesinambungan untuk meneruskan misi yang belum selesai dan tiada penghujung dalam membina warisan lestari bagi Komuniti ASEAN,” tambahnya.
Pada penghujung ucapannya, beliau menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap Filipina, yang akan mengambil alih kepengerusian ADMM seterusnya.
“Dan apabila kita menyerahkan baton kepada sahabat kita, Filipina, Malaysia memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi. Kami yakin Filipina akan terus memimpin dengan semangat dedikasi, integriti dan perpaduan yang sama.
“Marilah kita sokong kepengerusian ADMM Filipina sebagai satu ASEAN, bersatu dalam tujuan dan visi,” jelasnya.

Mohamed Khaled menyerahkan kepengerusian ADMM-Plus kepada Filipina. - Foto MINDEF
Dalam sidang media kemudiannya, Mohamed Khaled menegaskan bahawa ADMM dan ADMM-Plus kekal sebagai lambang keutuhan prinsip ASEAN First yang menjadi platform dalam membina keyakinan, keamanan dan kesejahteraan demi masa depan serantau lebih stabil.
“Seperti yang saya nyatakan, ADMM Plus bukan hanya platform untuk menteri-menteri pertahanan berjumpa, tetapi ruang untuk mengutarakan isu-isu serius dan sensitif, agar setiap negara anggota dapat memahami pendirian masing-masing sekali gus, memulihkan persefahaman serantau," katanya.
Beliau turut berkata, Amerika Syarikat telah menjelaskan peranannya secara telus, dengan pendekatan keamanan melalui kekuatan.
“Amerika menawarkan sokongan bagi memastikan negara ASEAN mampu berdepan pelbagai cabaran, terutama di Laut China Selatan.
“Kita mengambil kira perkara itu, namun menekankan bahawa sebarang kerjasama mestilah berasaskan kepada collective effort (usaha bersama) di bawah kerangka ADMM dan ADMM-Plus serta dipandu prinsip ASEAN Centrality dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap keamanan serta kemakmuran rantau ini.
Penutupan ADMM dan ADMM-Plus ke-12 ini menjadi simbol kejayaan 15 tahun perjalanan kerjasama pertahanan ASEAN yang terus memperkukuh perpaduan, keyakinan dan keamanan serantau demi masa depan lebih stabil dan makmur.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


