KABUL: Afghanistan berdepan defisit bajet sebanyak 44 bilion afghani atau AS$501 juta pada tahun kewangannya tahun ini.

Perkara itu dinyatakan pihak berkuasa Taliban tanpa menjelaskan bagaimana jurang antara pendapatan yang dijangkakan dan perbelanjaan yang dirancang akan dipenuhi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Abdul Salam Hanafi, kerajaan meramalkan perbelanjaan sebanyak 231.4 bilion afghani dan hasil domestik sebanyak 186.7 bilion.

Hasil itu adalah kutipan daripada jabatan berkaitan kastam, kementerian dan lombong.

Sejak pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat ke atas Afghanistan pada 2001, kerajaan itu hanya bergantung kepada bantuan asing.

Pengunduran kesemua tentera asing pada Ogos 2021, membawa kepada kejatuhan kerajaan itu dan Taliban kembali berkuasa.

Setakat ini, dunia masih belum mengiktiraf kerajaan Taliban secara rasmi.

Ini mendorong negara itu berhadapan dengan isu keselamatan yang semakin meningkat dan kegawatan ekonomi, manakala agensi bantuan memikirkan cara untuk membantu 50 juta rakyat Afghanistan tanpa memberi Taliban akses terus kepada dana.

Hanafi berkata bajet untuk tahun kewangan semasa, yang berlangsung hingga Februari depan, telah diluluskan oleh Majlis Kementerian dan disahkan oleh pemimpin tertinggi Taliban, Haibatullah Akhunzada dan akan menggunakan dana tempatan sahaja.

Kerja-kerja pembangunan akan melibatkan 27.9 bilion afghani.