SELEPAS mengumumkan kabinet dengan diketuai Mullah Mohamad Hassan Akhund sebagai Perdana Menteri Sementara Afghanistan, Taliban kini mengisytiharkan mereka ialah kerajaan Emiriah Islam.

Kenyataan oleh ketua jurucakapnya, Zabihullah Mujahid menyebut, Afghanistan dan barisan kabinet akan menegakkan syiar Islam dan syariah di negara itu.

Zabihullah turut mengulangi perkara itu dalam sidang akhbar pertama bagi mengumumkan barisan kabinet pada Selasa.

Selain Mohamad Hassan sebagai perdana menteri sementara, pengasas bersama Taliban, iaitu Abdul Ghani Baradar, diumum sebagai timbalan.

Anak kepada pengasas Taliban merangkap bekas pemimpin tertingginya, Allahyarham Mullah Omar, iaitu Mullah Yaqub pula, dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Manakala jawatan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada Ketua Rangkaian Haqqani yang digeruni, Sirajuddin Haqqani.

Sementara itu, perunding Taliban yang berpangkalan di Doha, Amir Khan Muttaqi yang juga anggota kabinet rejim pertama, dinamakan sebagai Menteri Luar.

Pelbagai pihak tertunggu-tunggu pengumuman pembentukan kabinet Taliban itu apabila ia kembali berkuasa sejak Ogos.

Ia susulan pemindahan pentadbiran yang diketuai Amerika Syarikat selesai pada penghujung bulan lalu.

Taliban sebelum ini menjanjikan pemerintahan 'inklusif' mewakili pelbagai etnik Afghanistan yang kompleks, walaupun wanita tidak mungkin dilantik di peringkat atasan kepemimpinan.

Taliban yang beralih status daripada kumpulan pemberontak kepada sebuah kerajaan, mempunyai pelbagai isu utama yang harus ditangani termasuk krisis kewangan dan kemanusiaan yang semakin memburuk.