Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dibuka tinggi, susut kemudiannya dipengaruhi aktiviti pengambilan untung

61757402235_BursaMalaysia.jpg
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis namun kembali susut selepas itu, sejajar prestasi lemah pasaran serantau susulan aktiviti pengambilan untung awal mengehadkan kenaikan pasaran.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.32 mata atau 0.14 peratus kepada 1,696.70 daripada paras 1,699.02 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 7.81 mata lebih tinggi kepada 1,706.83.

Sentimen pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 268 berbanding 174, manakala 348 kaunter tidak berubah, 1,890 tidak diniagakan dan 88 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 262.59 juta saham bernilai RM228.45 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks Hang Seng di Hong Kong memulakan dagangan dengan prestasi yang lemah, meneruskan penurunan selepas mencecah paras terendah dua bulan sebelum ini susulan sentimen berhati-hati terhadap perkembangan di Asia Barat.

Beliau berkata tekanan jualan meluas terutama dalam sektor hartanah, tenaga dan teknologi.

“FBM KLCI mungkin terus menyaksikan aliran keluar dana asing. Indeks kini diniagakan di bawah paras 1,700. Oleh itu, kami menjangkakan pelabur mula mengambil peluang membeli saham pada harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd dan Tenaga Nasional Bhd masing-masing tidak berubah pada RM10.94 dan RM14.16, Public Bank Bhd susut dua sen kepada RM4.78, IHH Healthcare Bhd turun tiga sen kepada RM8.95, manakala CIMB Group Holdings Bhd naik enam sen kepada RM7.74.

Bagi saham aktif, OGX dan Inari Amertron Bhd masing-masing meningkat lapan sen kepada 43 sen dan RM2.30. Hengyuan Refining naik 11 sen kepada RM1.29, GIIB Holdings Bhd tidak berubah pada 40 sen, manakala Astro Malaysia Holdings Bhd susut setengah sen kepada 55 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Kelington Group Bhd meningkat 22 sen kepada RM7.54, Sunway Bhd dan KESM Industries Bhd masing-masing naik 16 sen kepada RM5.40 dan RM4.65, manakala Ajinomoto (Malaysia) Bhd menambah 14 sen kepada RM13.10.

Bagi kaunter rugi utama, Nestle (Malaysia) Bhd merosot 44 sen kepada RM94.54, Kuala Lumpur Kepong Bhd turun 42 sen kepada RM19.92, Petronas Gas Bhd susut 28 sen kepada RM16.68, Fraser & Neave Holdings Bhd berkurangan 24 sen kepada RM28.26 dan Petronas Dagangan Bhd turun 16 sen kepada RM17.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.62 mata kepada 12,592.26, Indeks FBM Top 100 turun 25.25 mata kepada 12,432.34, Indeks FBM Emas Syariah merosot 42.40 mata kepada 12,487.42, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 72.02 mata kepada 18,142.35, manakala Indeks FBM ACE meningkat 12.14 mata kepada 4,723.63.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.17 mata kepada 198.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 5.10 mata kepada 19,974.05, manakala Indeks Tenaga susut 2.83 mata kepada 783.98 dan Indeks Perladangan turun 53.54 mata kepada 8,481.74.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement