DUNIA
Agensi PBB beri amaran krisis kelaparan kritikal dalam kalangan ibu, bayi baru lahir di Gaza

Penduduk Palestin yang cedera menunggu rawatan di Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, tengah Semenanjung Gaza, selepas dipindahkan dari Hospital al-Ahli susulan letupan yang berlaku di sana. - Foto AP
ANKARA: Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) memberi amaran pada Selasa bahawa puluhan ribu wanita hamil dan ibu menyusukan anak di Gaza sedang berdepan kelaparan serius, dengan kesan yang dahsyat kepada bayi baru lahir, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pejabat Serantau UNFPA bagi Negara Arab berkata di X bahawa 50,000 wanita hamil dan ibu menyusu "tidak makan selama beberapa hari."
"Bayi lahir terlalu awal, terlalu kecil," menurut agensi itu, sambil menjelaskan bahawa kekurangan zat pemakanan dalam kalangan ibu menghalang mereka daripada menyusu badan, manakala susu formula bayi sudah lagi tiada.
"Bayi baru lahir berisiko maut atau mengalami masalah kesihatan seumur hidup," kata UNFPA.Agensi itu menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang boleh dicegah dan menggesa akses kemanusiaan segera. "#OpenUpGaza Benarkan bantuan masuk," kata kenyataan itu.
Menurut agensi-agensi PBB, akses bantuan kemanusiaan ke Gaza masih terhad, memburukkan lagi krisis bagi golongan rentan termasuk wanita dan kanak-kanak.
UNFPA dan pertubuhan antarabangsa lain terus menggesa semua pihak berkaitan untuk memudahkan penyampaian bantuan yang menyelamatkan nyawa kepada penduduk.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami