GEORGE TOWN: Nakhoda Blitz, Nick Burns, mengingatkan anak kapalnya supaya tidak leka dengan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan Kelas 1 pada Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2026 selepas memenangi dua perlumbaan pelayaran jarak jauh pertama.
Beliau berkata keadaan angin yang tidak menentu sepanjang baki perlumbaan boleh mengubah kedudukan peserta pada bila-bila masa, sekali gus menyukarkan mana-mana pasukan meramalkan peluang untuk muncul juara keseluruhan.
Nakhoda berpengalaman itu berkata Blitz perlu terus mengekalkan momentum dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap setiap perlumbaan tanpa terlalu selesa dengan kelebihan dimiliki ketika ini.
“Saya sudah menyertai perlumbaan ini kira-kira 20 kali dan tahu tiada apa yang boleh dianggap pasti kerana keadaan angin di sini sangat sukar diramal.
“Kita mungkin menamatkan perlumbaan di tempat terakhir atau pertama, tetapi itu bukan perkara utama kerana matlamatnya adalah untuk bersaing, berseronok dan menikmati perlumbaan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah perlumbaan kedua di sini semalam.
Mengulas cabaran seterusnya, Nick berkata pengalaman serta keserasian anak kapal hasil latihan bersama menjadi sandaran utama Blitz untuk mempertahankan kedudukan pendahulu.
“Kami berharap dapat memanfaatkan latihan dan pengalaman yang dimiliki sepanjang beraksi bersama.
“Kerjasama antara anak kapal sangat baik, namun segala-galanya masih bergantung pada keadaan cuaca, terutama pembentukan awan dan tiupan angin,” katanya.
Pada perlumbaan pelayaran jarak jauh kedua dari Pulau Pangkor ke Pulau Pinang, Blitz mengungguli Kelas 1 dengan catatan masa terlaras 12 jam 42 minit 21 saat, mengatasi juara bertahan The Next Factor yang merekodkan 12 jam 45 minit 28 saat.
Windseeker pula menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 12 jam 52 minit 36 saat.
Sementara itu, Shahtoosh muncul juara Kelas 2, manakala Insanity mengungguli Kelas 3.
Kimikimi pula meraih kemenangan dalam Kelas 4, sementara Skybird menjuarai Kelas 5.
Saingan RMSIR 2026 diteruskan hari ini dengan perlumbaan pelayaran jarak jauh dari Pulau Pinang ke Langkawi, sebelum disusuli beberapa siri perlumbaan di perairan sekitar pulau peranginan itu.
RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 merupakan regatta kedua tertua di Asia dan cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda Selangor.
-- BERNAMA