BRUSSELS: Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Qu Dongyu pada Isnin memberi amaran bahawa sebarang gangguan atau penutupan Selat Hormuz akan menimbulkan risiko keselamatan makanan global, bukan sekadar krisis serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau menegaskan keperluan memastikan laluan perdagangan pertanian terus dibuka ketika tekanan global semakin meningkat.
Ketika merasmikan Sesi Ke-181 Majlis FAO di Rom, Qu berkata, keadaan itu menyerlahkan kelemahan yang semakin ketara dalam sistem agromakanan global khususnya berkaitan tenaga, baja dan input pengeluaran makanan.
“Penutupan Selat Hormuz bukan isu serantau, sebaliknya risiko keselamatan makanan global,” kata Qu, sambil menyatakan sebahagian besar eksport minyak mentah, gas asli cecair dan baja dunia melalui laluan strategik itu.
“Kami menyeru supaya laluan perdagangan terus dibuka, sekatan eksport ke atas semua input pertanian dielakkan, koridor makanan kemanusiaan dilindungi dan laluan logistik alternatif dijamin,” katanya.
Qu menegaskan kebimbangan paling segera bukanlah kekurangan makanan secara langsung, tetapi “baja dan penghasilan” yang boleh meningkatkan kos pengeluaran dengan ketara kepada petani di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Keadaan itu, boleh memaksa petani membuat keputusan sukar berhubung hasil tanaman dan penggunaan input pertanian, kata beliau.
Menurut FAO, kira-kira 20 hingga 30 peratus perdagangan baja global serta jumlah besar penghantaran tenaga dan sulfur melalui selat itu, menjadikannya laluan penting bagi sistem pengeluaran makanan dunia.
Qu turut memberi amaran bahawa kejutan berkaitan iklim, termasuk kemungkinan fenomena El Nino berlaku lewat tahun ini, boleh memburukkan lagi masalah ketidakjaminan makanan di kawasan rentan yang sudah terjejas akibat konflik dan ketidaktentuan ekonomi.
Agensi itu turut menyebut operasi kemanusiaan yang sedang berjalan, termasuk kempen vaksinasi ternakan di Sudan dan bantuan makanan ternakan kecemasan di Gaza, membantu melindungi mata pencarian serta menstabilkan sistem pengeluaran makanan tempatan.
-- BERNAMA-ANADOLU