GENEVA: Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Selasa bahawa krisis kemanusiaan di Lubnan masih parah walaupun gencatan senjata diumumkan bulan lepas, dengan keganasan berterusan, kehilangan tempat tinggal dan keperluan yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi.
Karolina Lindholm Billing, wakil agensi itu di Lubnan, memberitahu wartawan di Geneva pada Selasa keadaan berada pada "detik yang sangat rapuh", dengan serangan udara Israel berterusan, sekatan pergerakan dan halangan memaksa perpindahan berulang.
Advertisement
"Walaupun gencatan senjata diumumkan sejak 17 April, perpindahan dan krisis kemanusiaan di Lubnan masih belum selesai," katanya.
Sekurang-kurangnya 380 orang terbunuh sejak gencatan senjata, manakala kemusnahan yang meluas menyebabkan kediaman dan infrastruktur rosak atau tidak dapat digunakan, tambahnya.
Billing berkata ramai keluarga yang cuba pulang terpaksa melarikan diri semula selepas mendapati rumah mereka musnah dan perkhidmatan asas tidak tersedia.
"Keluarga melarikan diri, pulang sekejap, kemudian melarikan diri lagi - terperangkap dalam kitaran ketidakpastian yang berulang dan meletihkan," katanya.
Lebih 310,000 rakyat Syria telah kembali ke Syria sejak Mac ketika ketegangan meruncing, manakala Rayuan Kilat Lubnan hanya dibiayai 38 peratus justeru mengehadkan usaha bantuan.
Beliau menggesa gencatan senjata yang rapuh itu mesti ditegakkan untuk membolehkan kepulangan yang selamat bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan dipadankan dengan sokongan berterusan antarabangsa.
Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) juga memberi amaran bahawa krisis itu semakin teruk, dengan jurucakap Tommaso Della Longa menyatakan: "Krisis kemanusiaan di Lubnan semakin mendalam."
Beliau berkata kira-kira satu daripada lima orang di negara itu kehilangan tempat tinggal iaitu sekitar 1.2 juta, dengan ramai yang tinggal di khemah atau tempat perlindungan tanpa akses kepada air, makanan atau penjagaan kesihatan yang kukuh.
"Gencatan senjata kekal rapuh. Ia tidak memulihkan rumah atau mata pencarian, dan tidak menjamin keperluan asas seperti air, makanan, atau penjagaan kesihatan," katanya.
Beliau memberi amaran bahawa rayuan kecemasan IFRC untuk Lubnan hanya dibiayai 12.5 peratus, bermakna "sokongan kritikal mungkin akan dikurangkan tidak lama lagi apabila ia amat diperlukan".
Beliau juga menekankan risiko yang dihadapi petugas kemanusiaan, berkata sukarelawan "memerlukan perlindungan dan akses lebih selamat" ketika mereka meneruskan operasi menyelamat dalam keadaan berbahaya.
"IFRC akan terus menuntut apa yang tidak sepatutnya diminta: penghormatan dan perlindungan untuk petugas kemanusiaan," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU