IPOH: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum tertusuk besi penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 295.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Gopeng, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.29 petang sebelum sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi.
Advertisement
"Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan Perodua Myvi. Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Iqhbal Afiq Abd Ghafar, 37, pemandu Perodua Axia.
"Mangsa dipercayai tersepit selepas besi penghadang jalan menembusi bahagian depan kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata turut berada di dalam Perodua Axia ialah isteri mangsa bersama tiga kanak-kanak perempuan iaitu dua anak dan seorang anak saudara dengan kesemuanya mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki tempatan tidak cedera.
"Pasukan penyelamat menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Sabarodzi berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.46 petang.
-- BERNAMA