DUNIA
Agensi penerbangan AS denda Boeing AS$3.1 juta atas pelanggaran keselamatan

Ratusan pelanggaran sistem kualiti dikenal pasti di kilang Boeing 737 di Renton, Washington, serta di kilang 737 milik subkontraktor Boeing, Spirit AeroSystems di Wichita, Kansas. - Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mencadangkan denda sebanyak AS$3.1 juta terhadap syarikat Boeing berhubung pelanggaran keselamatan dari September 2023 hingga Februari 2024, lapor Xinhua.
Menurut FAA pada Jumaat, ratusan pelanggaran sistem kualiti dikenal pasti di kilang Boeing 737 di Renton, Washington, serta di kilang 737 milik subkontraktor Boeing, Spirit AeroSystems di Wichita, Kansas.
Agensi itu memaklumkan pelanggaran berkenaan berkaitan dengan insiden yang membabitkan pesawat Alaska Airlines ketika palam pintu pada fiuslaj tertanggal beberapa minit selepas berlepas.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Boeing memaklumkan pihaknya sedang meneliti cadangan penalti sivil itu dan menegaskan syarikat telah melaksanakan pelan keselamatan dan kualiti tahun lalu bagi memperkukuh pengurusan keselamatan serta jaminan kualiti.-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami