DUNIA
Ahli Demokrat Dewan Perwakilan AS desak pentadbiran Trump iktiraf negara Palestin

Ahli Dewan Perwakilan itu menyatakan, "detik tragis ini menyerlahkan kepada dunia perlunya pengiktirafan terhadap hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin yang telah lama tertangguh." - EPA
ISTANBUL: Berbelas-belas orang Ahli Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) menandatangani sepucuk surat yang mendesak pentadbiran bekas Presiden Donald Trump untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laman sesawang Amerika, Axios, pada Isnin.
Dalam surat yang ditujukan kepada Presiden Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio, Ahli Dewan Perwakilan itu menyatakan, "detik tragis ini menyerlahkan kepada dunia perlunya pengiktirafan terhadap hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin yang telah lama tertangguh."
Mereka turut menyorot kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berjanji akan mengiktiraf negara Palestin dalam satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September - kenyataan yang ditolak keras oleh Marco Rubio.
Surat itu menyebut, "kami menggalakkan kerajaan negara lain yang masih belum mengiktiraf kenegaraan Palestin, termasuk Amerika Syarikat, untuk turut berbuat demikian."Wakil Ahli Demokrat Ro Khanna, yang mengetuai inisiatif ini, berkata kepada Axios yang beliau "baru memulakan usaha mendekati" minggu lepas dan "maklum balas amat memberangsangkan."
Khanna berkata, pengiktirafan itu akan dibuat dengan menerima pakai Pelan Liga Arab 22 Negara yang baru sahaja diluluskan minggu ini.
Beliau turut memaklumkan yang lebih 147 negara mengiktiraf negara Palestin dan menegaskan,
"Kita tidak boleh terus terasing daripada masyarakat dunia yang bebas."
Perancis, Britain, Kanada dan Malta menyatakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin pada September ini.
Australia juga memberi isyarat akan mengambil langkah yang sama.
Sepanyol, Norway dan Ireland mengiktiraf Palestin pada Mei 2024, diikuti oleh Slovenia pada Jun, menjadikan jumlah negara anggota PBB yang mengiktiraf Palestin kini 149 daripada 193.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan ganas di Gaza, mengakibatkan lebih 60,300 rakyat Palestin terbunuh. Serangan tanpa henti itu memusnahkan Wilayah Gaza, membawa kepada kebuluran dan kematian akibat kelaparan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami