ANKARA: Ahli ekonomi Australia Sean Turnell, yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Kaunselor Negara Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, kembali ke negaranya pada Jumaat selepas hampir 21 bulan menjalani hukuman penjara.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dalam satu kenyataan mengesahkan mengenai perkara itu, lapor Agensi Anadolu.

"Saya gembira mengesahkan Profesor Sean Turnell telah selamat tiba di Australia dan kembali ke pangkuan isteri dan keluarganya selepas lebih 21 bulan ditahan di Myanmar.

"Kepulangannya melegakan keluarga, rakan dan ramai penyokongnya di Australia dan di seluruh rantau ini," kata Penny Wong.

Beliau turut berterima kasih kepada rakan kongsi serantau dan anggota ASEAN yang membantu untuk pembebasannya.

"Kami menghargai pengaturan yang dibuat pihak berkuasa Myanmar untuk pembebasan Profesor Turnell dan mengalu-alukan berita pembebasan banduan lain termasuk warga asing dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jepun," kata menteri luar itu.

Beliau mengulangi bahawa negaranya amat prihatin dengan keadaan Myanmar yang semakin teruk dan akan terus menyokong pembebasan tahanan politik yang masih ada.

Turnell ialah penasihat ekonomi Suu Kyi yang digulingkan ketika tentera mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada akhir Februari tahun lepas.

Pada September, mahkamah junta tentera menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas ahli ekonomi Australia itu atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.

Pada Khamis, junta tentera Myanmar mengumumkan pembebasan 5,744 banduan termasuk Turnell, bekas Duta Britain Vicky Bowman dan suaminya Ko Htein Lin serta penerbit filem Jepun Toru Kubota.

Suu Kyi dan pemimpin politik kanan lain dari partinya tidak termasuk dalam senarai pengampunan itu, menurut laporan media.

-- BERNAMA