ISTANBUL: Ahli Parlimen Turkiye mengundi menyokong larangan penggunaan media sosial bagi remaja di bawah umur 15 tahun, mengikuti langkah Australia yang memperkenalkan sekatan penting terhadap penggunaan media sosial tahun lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik media tempatan.
Cadangan itu, yang disokong oleh Ahli Parlimen di Ankara pada Rabu malam, masih memerlukan tandatangan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum ia boleh berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan, menurut agensi berita negara, Anadolu Ajansi.
Advertisement
Di bawah undang-undang itu, platform media sosial akan dilarang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna berumur bawah 15 tahun.
Platform juga diwajibkan memperkenalkan alat pengesahan umur serta mekanisme kawalan untuk ibu bapa.
Platform yang diakses di Turkiye lebih daripada 10 juta kali sehari turut dikehendaki mematuhi arahan rasmi dalam tempoh satu jam bagi kes mendesak.
Selain itu, mereka perlu menghalang kandungan yang dipadam atau disekat daripada dimuat naik semula di platform masing-masing, dengan pelanggaran boleh membawa kepada denda dan pengurangan lebar jalur internet.
Parti CHP, parti pembangkang terbesar negara itu, menolak langkah itu dan berikrar untuk menentangnya.
Ahli Parlimen CHP, Gokhan Gunaydin mendakwa, kerajaan menggunakan kesejahteraan kanak-kanak sebagai alasan untuk memperkenalkan sekatan tambahan.
Larangan media sosial terhadap kanak-kanak dan remaja ini mencerminkan langkah serupa oleh Australia, yang menjadi negara pertama mengehadkan akses media sosial bagi individu bawah 16 tahun pada Disember lepas.
Langkah itu mencetuskan perdebatan di seluruh dunia susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kesan media sosial terhadap kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak.
--BERNAMA-dpa