KIEV: Susulan nahas helikopter membawa pasukan kepimpinan Kementerian Dalam Negeri Ukraine di Kiev semalam, penasihat Kerajaan Ukraine Anton Gerashchenko memaklumkan kejadian memberi pengajaran di negara itu.

Menurut Gerashchenko, ahli politik dan para Menteri tidak boleh lagi melakukan perjalanan bersama.

“Saya rasa pelajaran dari peristiwa berdarah ini menjadi contoh jelas bagi kita bahawa ahli politik dan menteri tinggi tidak boleh melakukan perjalanan bersama sekali.

“Tetapi tragedi ini turut membawa kepada kematian kanak-kanak yang sangat mengerikan dan setiap kehidupan warga Ukraine amat bernilai,” kata Gerashchenko.

BACA: Menteri Ukraine terkorban dalam nahas helikopter

Dalam pada itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkan kejadian ini sebagai sebuah kehilangan besar bagi negara serta memberitahu ratusan penduduk terlibat memadamkan kebakaran, mencari dan menyelamatkan yang cedera.

Perkhidmatan Keselamatan Ukraine melancarkan siasatan ke atas nahas itu, dan menyiarkan di Facebook bahawa "beberapa versi tragedi sedang diambil kira."

Ia termasuk pelanggaran peraturan penerbangan, kerosakan teknikal helikopter dan tindakan disengajakan untuk memusnahkan helikopter.

Sementara itu, Datuk Bandar Brovary Ihor Sapozhko mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama tiga hari bermula Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Perkhidmatan Kecemasan Ukraine (SES) mengesahkan 14 mayat ditemui di lokasi nahas, termasuk seorang kanak-kanak dan kesemua sembilan penumpang helikopter, enam daripada mereka merupakan pegawai kementerian manakala tiga lagi anak kapal.

Pihak berkuasa Ukraine mengesahkan Menteri Dalam Negeri Denis Monastyrsky, Timbalan Menteri Pertama Yevheniy Yenin dan Setiausaha Negara Yuriy Lubkovychis antara yang terkorban dalam nahas, menurut laporan CNN.