TOKYO: Kira-Kira 200 rakyat Malaysia di Jepun berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke negara matahari terbit itu.

Pada majlis makan malam dan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah hotel di sini malam ini, pelbagai pertanyaan diajukan kepada Ahmad Zahid dalam sesi interaktif bersama komuniti Malaysia yang terdiri daripada pelajar serta individu yang menetap dan bekerja di Jepun.

Pada majlis itu, yang dikendalikan oleh Muhammad Fareez Jamali, penuntut sarjana polisi awam di National Graduate Institute for Policy Studies (GRIPS), Tokyo selaku moderator, mereka memohon penjelasan berhubung agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Turut disoal perkara berkaitan pembangunan sektor perubatan dan industri halal negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta rakyat Malaysia supaya mempromosi pelbagai produk dan jenama negara di tempat mereka menetap serta bekerja di luar negara.

"Itulah tanggungjawab kita di seluruh dunia di mana komuniti Malaysia berada. Walaupun kita tidak mendapat sebarang ganjaran, atas rasa bangga itu kita promosikan produk-produk kita di luar negara," katanya sambil menambah produk terbabit sama ada berbentuk makanan ataupun perkhidmatan.

Petang tadi, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 70 pelajar dalam pertemuan santai yang berlangsung di sebuah restoran dekat Aqua City Odaiba di sini.

Semasa lawatan itu, Ahmad Zahid antara lain akan melakukan kunjungan hormat serta perbincangan dengan fokus utama ialah bagi membincangkan usaha Malaysia dan Jepun dalam memperkasa bidang TVET dan industri halal.

Lawatan kerja itu adalah kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pada Disember 2022.

Timbalan Perdana Menteri juga dijangka menerima anugerah Ijazah Kehormat daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT), Tokyo sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun dan usaha memartabatkan TVET.

Ahmad Zahid juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun Masahito Moriyama atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Semasa di Osaka, Ahmad Zahid dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) dan Sesi Meja Bulat: Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti.

Pengerusi Majlis Halal Malaysia itu juga akan mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, para pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan serta wakil institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA