KUALA LUMPUR: Profesor Datuk Dr Aishah Bidin dilantik sebagai wakil Malaysia yang baharu ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2022-2024.

Beliau menggantikan Eric Paulsen, wakil Malaysia ke AICHR yang telah berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dari 2019-2021.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pelantikan Aishah dibuat atas pengalaman yang luas dalam bidang hak asasi manusia.

"Kerajaan yakin bahawa Profesor Datuk Dr Aishah Bidin mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia berhubung isu-isu hak asasi manusia melalui AICHR.

"Pelantikan Profesor Datuk Dr Aishah Bidin merupakan manifestasi iltizam Kerajaan yang jelas dalam mempromosi serta melindungi isu-isu hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam agenda utama ASEAN menerusi AICHR," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Aishah merupakan Felo dan Profesor Undang-Undang Korporat dan Insolvensi di Akademi Sains Malaysia.

Beliau juga merupakan mantan Profesor Undang-undang Korporat dan Insolvensi di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga mantan Pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang bertanggungjawab ke atas portfolio Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa bagi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Korporat Malaysia (CLRC), ahli Jawatankuasa Semakan Undang-undang Kebankrapan dan Insolvensi Korporat Malaysia di bawah Jabatan Insolvensi, Jabatan Perdana Menteri, serta sebagai
mantan Dekan Fakulti Undang-Undang UKM dan mantan penasihat undang-undang UKM Holdings.

Saifuddin dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada Eric Paulsen di atas perkhidmatan dan dedikasi beliau selama tiga tahun yang lalu.

AICHR yang ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Artikel 14, Piagam ASEAN merupakan sebuah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN,
dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama hak asasi manusia dengan organ-organ ASEAN yang lain.