RIBUAN petani turun ke jalanan di New Delhi bagi membantah Akta Pertanian baharu India.

Pada Sabtu, penunjuk perasaan berjaya menghalang laluan di beberapa jalan raya utama di bandar itu.

Protes dilancarkan sehari selepas Menteri Pertanian India Narendra Singh Tomar mempertahankan akta itu pada sidang Parlimen.

Beliau juga tidak menunjukkan iltizam untuk meneruskan rundingan bersama golongan petani.

Sejak lebih dua bulan lalu, beberapa penunjuk perasaan telah mula berkhemah di tiga lokasi utama.

Demonstrasi bagaimanapun bertukar ganas sejak 26 Januari apabila ratusan ribu petani memandu traktor dan menyerbu monumen Red Fort di New Delhi.

BACA: Rihanna 'masuk campur' protes pertanian di India, kobarkan bantahan terhadap Narendra Modi

Petani India mendakwa, akta berkenaan akan melonggarkan peraturan dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi syarikat swasta.

Lebih daripada separuh petani menanggung hutang yang banyak dan menurut rekod rasmi, seramai 20,638 daripada mereka membunuh diri pada 2018 dan 2019 akibat beban hutang.