PRESTON: Lima aktivis kumpulan Palestine Action di United Kingdom tidak akan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang keganasan selepas seorang hakim memutuskan kesalahan yang dilakukan mereka tidak mempunyai kaitan keganasan.
Keputusan itu diumumkan Hakim Robert Altham di Mahkamah Mahkota Preston pada Jumaat, sekali gus memberi kelegaan kepada lima aktivis terbabit yang sebelum ini disabitkan kesalahan menyebabkan kerosakan bernilai £212,000 (kira-kira RM1.2 juta) terhadap sebuah cawangan bank Barclays di Burnley, Lancashire pada Ogos 2024.
Mereka ialah Brendon O’Hagan, 28, Amanda Kelly, 31, Hmeera Atiqnisar, 31, Mohammed Malik, 28, dan Alma Yaniv, 70.
Kumpulan itu didapati bersalah pada Jun lalu selepas melakukan kerosakan terhadap premis bank berkenaan sebagai bantahan terhadap pegangan saham Barclays dalam syarikat pengeluar senjata Israel, Elbit Systems.
Pengumuman keputusan hakim disambut sorakan dan laungan pro-Palestin oleh puluhan penyokong yang berhimpun di luar mahkamah.
Ibu kepada Mohammed Malik, Dove Malik, menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bukan sahaja buat keluarganya tetapi juga bagi perjuangan Palestin dan hak untuk membantah secara aman.
“Ini kemenangan untuk kami, kemenangan untuk Palestin dan kemenangan untuk hak memprotes. Kami berada di pihak yang benar dalam sejarah,” katanya.
Dalam satu kenyataan bersama, kelima-lima aktivis itu berkata mereka amat lega selepas mahkamah memutuskan untuk tidak menjatuhkan hukuman ke atas mereka sebagai pengganas.
“Mereka mendakwa kami atas kesalahan khianat dan kerosakan harta benda, termasuk memecahkan tingkap serta menyembur cat merah pada cawangan Barclays. Sepanjang perbicaraan, kami dan juri tidak pernah dimaklumkan bahawa sabitan boleh membawa kepada hukuman di bawah undang-undang keganasan,” menurut kenyataan itu.
Mereka dijadualkan menerima hukuman pada 4 September depan.
Pada masa keputusan bersalah dijatuhkan, Palestine Action masih belum diisytiharkan sebagai organisasi pengganas.
Bagaimanapun, selepas sabitan dibuat, Hakim Philip Parry memaklumkan pasukan peguam bahawa beliau mempertimbangkan sama ada kesalahan itu mempunyai “kaitan keganasan”.
Langkah serupa pernah diambil dalam satu kes berasingan melibatkan empat aktivis Palestine Action yang disabitkan atas kesalahan merosakkan harta di tapak Elbit Systems di Filton, berhampiran Bristol.
Peguam kanan jenayah, Raj Chada dari firma Hodge Jones & Allen, berkata penggunaan peruntukan “kaitan keganasan” terhadap kes melibatkan aktivis Palestine Action adalah sesuatu yang luar biasa.
Menurutnya, undang-undang tersebut sudah lama wujud, namun hanya kelihatan digunakan baru-baru ini dan hampir secara eksklusif terhadap kes berkaitan kumpulan itu.
“Kami berpendapat penggunaan undang-undang ini amat luar biasa dan kelihatan menyasarkan aktivis Palestine Action walaupun kesalahan mereka berlaku sebelum kumpulan itu diharamkan,” katanya.
Sementara itu, kumpulan hak asasi Defend Our Juries mendakwa lebih 3,500 individu, termasuk ramai yang berusia lebih 60 tahun, telah ditahan kerana menyatakan sokongan kepada Palestine Action selepas pertubuhan itu diharamkan pada Julai 2025.
Pengharaman tersebut meletakkan Palestine Action dalam kategori undang-undang yang sama seperti al-Qaeda dan ISIL (ISIS).
Ramai yang ditahan terlibat dalam siri demonstrasi duduk aman di Parliament Square di London dengan memegang plakad bertulis: “Saya menentang genosid, saya menyokong Palestine Action.”
Beberapa pertubuhan hak asasi sebelum ini mengkritik keputusan kerajaan mengharamkan Palestine Action dan menggesa kerajaan Parti Buruh membatalkan larangan berkenaan.
Ketua Amnesty International UK, Kerry Moscogiuri, berkata keputusan mahkamah itu seharusnya membuka jalan kepada semakan semula terhadap pengharaman kumpulan berkenaan.
“Kami mahu melihat larangan terhadap Palestine Action ditarik balik dan penggunaan kuasa antikeganasan yang terlalu luas terhadap aktivis protes dihentikan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memulihkan hak rakyat untuk berhimpun dan membantah secara aman sebagai salah satu mekanisme penting untuk memastikan pemimpin bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.