Ringkasan AI
- Logo Universiti Kebangsaan Malaysia akan dipaparkan pada jersi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam kejohanan antarabangsa sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
- Azizulhasni dilantik sebagai Duta Global UKM dan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) sempena Majlis Konvokesyen UKM ke-54.
- Kerjasama ini bertujuan memperkukuh jenama UKM di peringkat antarabangsa serta memberi inspirasi kepada pelajar dan atlet muda negara.
BANGI: Logo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menghiasi jersi jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sebagai sebahagian daripada usaha universiti itu memperkukuh jenamanya di persada dunia.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata kerjasama strategik itu menyaksikan Azizulhasni dilantik sebagai Duta Global UKM, dengan universiti berkenaan turut merancang menjadi penaja utama jaguh yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu sehingga temasya Olimpik berkenaan.
Beliau berkata pemilihan Azizulhasni bukan sekadar berdasarkan kejayaannya dalam arena sukan, tetapi juga pengaruh dan reputasi antarabangsa yang mampu membantu memperkenalkan UKM kepada masyarakat dunia.
"Kita mahu membawa nama baik UKM ke peringkat global. Jadi, kita memerlukan seorang tokoh yang terkemuka dan dikenali di peringkat antarabangsa untuk membawa logo serta nama UKM. Selepas ini kita akan melihat logo UKM pada jersi Azizulhasni.
"Setiap kejohanan selepas ini sehingga Olimpik 2028, kita akan menjadi penaja utama beliau supaya masyarakat dunia mengenali UKM," katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen UKM ke-54 yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di sini, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan Azizulhasni dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan).
Sufian berkata kerjasama itu juga sejajar dengan aspirasi UKM memperluas pengaruh antarabangsa menerusi jaringan akademik dan kerjasama strategik, termasuk kehadiran universiti itu di Qatar serta usaha memperkukuh hubungan dengan Timor-Leste dan Kenya.
Beliau berkata Azizulhasni turut dijangka memainkan peranan mendekati warga kampus menerusi sesi interaksi dan perkongsian pengalaman bagi menyuntik inspirasi kepada pelajar khususnya generasi muda.
Sementara itu, Azizulhasni menyifatkan pelantikannya sebagai Duta Global UKM sebagai satu amanah besar untuk membawa nama universiti berkenaan ke pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam kejohanan utama dunia.
"Setiap kali saya bertanding di luar negara, terutama kejohanan besar seperti Olimpik, kita akan membawa nama UKM di persada antarabangsa, insya-Allah. Sepanjang lebih 20 tahun bergelar atlet, saya rasa penganugerahan ijazah kehormat ini antara pengiktirafan tertinggi yang pernah saya terima. Ia bukan sahaja menjadi motivasi, tetapi juga satu amanah besar," katanya.
Azizulhasni berkata pengiktirafan itu diharap membuka mata lebih ramai atlet muda bahawa kecemerlangan sukan dan pencapaian akademik perlu bergerak seiring, sekali gus membuktikan kejayaan dalam sukan bukan penghalang untuk menimba ilmu.
Beliau berkata kerjasama dengan UKM juga berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk melanjutkan pengajian tanpa mengabaikan pembangunan kerjaya sukan masing-masing.
"Kita bukan hanya perlu fokus kepada sukan, tetapi mesti mengimbangi sukan dengan pembelajaran. Belajar ini bukan mengikut usia, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang hayat.
"Macam saya sendiri, insya-Allah selepas bersara daripada sukan nanti, kalau boleh saya mahu meneruskan pengajian juga, tentunya bersama UKM," katanya.
Terdahulu dalam ucapan selepas menerima ijazah kehormat itu, Azizulhasni berkongsi kisah kebangkitannya daripada ujian kesihatan yang hampir meragut masa depan karier sukannya selepas menjalani pembedahan jantung pada 2022.
Beliau berkata pernah dinasihatkan seorang pakar kardiologi sukan di Melbourne, Australia supaya tidak terlalu berharap untuk kembali beraksi di tahap tertinggi berikutan keadaan kesihatannya ketika itu.
"Saya boleh menerima kata-kata itu sebagai satu pengakhiran ataupun terus mencuba dan berusaha. Dan pada waktu itu, saya memilih untuk meneruskan perjuangan," katanya.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu berkata beliau disahkan mengalami kelainan salur darah koronari sejak lahir yang dikenali sebagai Anomalous Right Coronary Artery, iaitu keadaan jarang berlaku yang melibatkan kurang satu peratus populasi dunia.
Azizulhasni berkata pembedahan berkenaan menyebabkan masa depan karier sukannya, malah kehidupannya sendiri diselubungi ketidakpastian, namun beliau enggan menjadikan ujian itu sebagai noktah kepada sebuah perjuangan.
Beliau berkata keazaman untuk kembali bersaing di pentas dunia akhirnya membuahkan hasil apabila meraih empat pingat emas dalam kejohanan antarabangsa tahun ini, antaranya dua pingat emas pada Piala Dunia Trek UCI di Perth dan Nilai, selain masing-masing satu emas pada Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.
-- BERNAMA