MOSCOW: Anggota kumpulan al-Qaeda (yang diharamkan di Rusia) dilaporkan telah mengancam untuk menyerang sebuah kementerian di Perancis dan kedutaan Sweden, menurut Sputnik.

Laporan Le Figaro pada Jumaat yang memetik kenyataan kumpulan itu mengatakan bahawa Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) mengumumkan rancangan itu dalam terbitan terbaru majalah Sada al-Malahim.

Menurut laporan itu Sweden antara negara Eropah yang telah memilih untuk mengetuai perang menentang Islam dan umatnya.

Kumpulan itu merujuk kepada insiden pembakaran al-Quran di Sweden baru-baru ini.

AQAP dikatakan bertanggungjawab terhadap serangan ke atas akhbar satira Charlie Hebdo pada 2015 di Paris.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin memberi amaran tentang peningkatan ancaman serangan pengganas di negara itu, yang dirancang di luar negara.

Beliau berkata ia disebabkan kurang kehadiran tentera Perancis dan Amerika di Sahel, Levant dan Afghanistan dan serangan mungkin dilakukan sama seperti pada 2015.

-- BERNAMA