SINGAPURA: Alibaba Cloud merancang untuk bekerja dengan lebih banyak syarikat Malaysia daripada pelbagai industri bagi penerimagunaan 'Energy Expert', penyelesaian kemampanan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

Naib Presiden Alibaba Cloud Intelligence, William Xiong berkata kemampanan telah menjadi amalan global, dan memandangkan matlamat Malaysia untuk mencapai agenda sifar bersih menjelang 2050, pihaknya menjangkakan permintaan daripada pelbagai industri meningkat untuk menyepadukan kemampanan ke dalam operasi perniagaan mereka .

Beliau menekankan bahawa penting untuk perniagaan mengutamakan amalan mampan agar kekal berdaya saing dan sejajar dengan matlamat kemampanan negara.

"Kami komited untuk meneroka cara membawa teknologi yang lebih inovatif dan memberi kesan kepada pelanggan dan rakan kongsi kami dalam pasaran -- penyelesaian Energy Expert adalah satu daripadanya.

"Menerusi penyelesaian Energy Expert untuk membantu syarikat memantau, menganalisis dan mengoptimumkan pelepasan karbon, kami juga mahu terus memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan tempatan dan menjadi antara penyedia perkhidmatan awan terkemuka di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Alibaba Cloud telah menyokong sejumlah perniagaan di Malaysia, termasuk UEM Edgenta, Hond Tat Industries, Mesiniaga dan VSTECS Bhd.

Sejak pelancaran global pada 30 Jun 2022, Energy Expert telah membantu lebih 2,000 perusahaan di peringkat global menjimatkan tenaga atau mengurangkan pelepasan karbon.

Analisis oleh firma perundingan, Accenture, menunjukkan syarikat yang beralih daripada infrastruktur teknologi maklumat (IT) tempatan kepada pengkomputeran awan telah mengurangkan jejak karbon mereka secara purata sebanyak 84 peratus.

Syarikat penyelidikan dan perundingan, Gartner, menjangkakan menjelang 2025, lebih 85 peratus organisasi akan menerima guna prinsip mendahulukan awan dan lebih 95 peratus beban kerja digital baharu akan ditempatkan pada platform natif awan.

Xiong menekankan bahawa menggalakkan peralihan kepada awan adalah satu tindakan penting untuk pengurangan karbon dan peningkatan kecekapan bukan sahaja untuk kumpulan perniagaan malah juga untuk ekonomi yang lebih luas.

"Apabila menerima pakai amalan mampan dan beralih kepada awan, perniagaan boleh mengurangkan kesan alam sekitar mereka di samping meningkatkan kecekapan operasi.

"Ini membolehkan syarikat menyesuai secara lebih pantas dengan era digital dan menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang lebih mampan, di samping kekal cekap dan berdaya saing dalam pasaran yang berubah dengan pantas," katanya.

-- BERNAMA