LABUAN BAJO: Setiap negara, negeri, bahkan daerah ada tradisinya yang tersendiri.

Lazimnya, ia diturunkan dari generasi ke generasi, agar khazanah istimewa sebegitu tidak lenyap ditelan zaman.

Bagi memastikan tradisi sebegitu terus kekal, dikenali ramai sehingga ke peringkat antarabangsa, sudah pasti Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 adalah cara terbaik untuk mempromosikannya.

Ini kisah beberapa gadis, meluangkan masa beberapa jam, menari tarian Benggong dan Lompat Alu di Labuan Bajo, Indonesia.

Setibanya wakil Astro AWANI di Pantai Pede, pandangan mata terus tertumpu kepada beberapa gadis, termasuk kanak-kanak, berumur lingkungan lapan hingga 22 tahun.

Semuanya memakai baju berwarna-warni, sedang asyik menari. Dan dari lagunya saja, sudah boleh ditebak, ia adalah lagu dan tarian tradisi di Manggarai Barat, Labuan Bajo.

Kehadiran mereka di situ sedikit sebanyak menceriakan suasana di tempat rekreasi sementara di Pantai Pede.

Lokasi itu dibuka susulan ‘port’ biasa mereka di Pelabuhan Marina Labuan Bajo kini digunakan untuk sidang kemuncak.

Kehadiran mereka di situ sedikit sebanyak menceriakan suasana di tempat rekreasi sementara di Pantai Pede.

Alunan lagu, gerak tari lemah-gemalai, muzik rancak menceriakan suasana di kawasan itu yang hampir setiap masa senyap, boleh kata hanya ceria kerana tarian Benggong dan Lompat Alu.

"Tarian Benggong itu menceritakan tarian kecantikan, sehingga boleh mendapatkan lelaki.

"Tari Benggong itu salah satu ungkapan perasaan bahawa wanita itu punya harga diri sehingga dia dipinang oleh lelaki dengan barang-barang (hantaran) seperti haiwan kerbau, kuda dan wang.

"Tari Benggong itu biasanya juga dinyanyikan pada saat mereka pulang dari ambil air di kali (pulang dari sungai). Pada saat mereka pulang, lelaki menyanyikan lagu cintanya kepada wanita," kata Kilo Oscar Kondrat kepada Astro AWANI. 

Dia satu-satunya lelaki dalam kumpulan itu namun peranannya yang paling besar kerana dia merupakan koreografer untuk gadis-gadis itu.

Tambahnya, bagi tarian Lompat Alu pula, ia biasanya diadakan pada malam bulan purnama, biasanya selepas tamat bulan purnama.

Tarian itu biasanya dilakukan di hadapan Rumah Adat dan secara tidak langsung, ia juga merupakan ‘arena perjodohan’ untuk muda-mudi di kampung.

Anak muda yang menari di situ bukan hanya menari tetapi diterapkan juga dengan nilai cintakan alam sekitar terutamanya laut dengan slogan “Laut Bukan Sampah”.

Mereka bukan hanya mengangkat tradisi malah memelihara alam sekitar sebaiknya kerana jika tiada lagi alam, sudah pasti tradisi pun ikut sama tiada.