WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berikrar untuk menghukum Iran susulan kematian beberapa anggota tentera negara itu, sambil memberi amaran bahawa Tehran akan “membayar harga berkali ganda” atas insiden berkenaan.
Amaran itu dibuat pada Isnin, beberapa jam selepas Trump menyatakan bahawa siri serangan terbaharu AS yang menghentam sasaran di Iran “memberi kesan yang sangat besar” dan dilancarkan sebagai tindak balas terhadap kematian tiga anggota tentera AS baru-baru ini - dua di Jordan dan seorang di Iraq.
Tentera AS memaklumkan, serangan yang dijalankan untuk malam kesembilan berturut-turut itu menyasarkan kemudahan ketenteraan serta sistem komunikasi bagi “mengurangkan lagi” keupayaan Iran melancarkan serangan terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz.
Sementara itu, Iran mendakwa telah menyerang beberapa lokasi di Bahrain dan Syria selain menyasarkan pesawat tentera AS di Jordan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kemudian menegaskan, negaranya kini sedang berdepan “perang berskala penuh” dengan AS.
Tehran turut memaklumkan bahawa saluran diplomatik melalui pihak perantara masih berjalan, meskipun gencatan senjata yang dicapai sebelum ini telah gagal dipertahankan.
Lewat Isnin, tentera Jordan mengesahkan ia berjaya memintas dan menembak jatuh tiga peluru berpandu Iran ketika siren amaran serangan berbunyi di seluruh negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, angkatan tentera Kuwait memaklumkan berjaya memintas beberapa dron Iran yang memasuki ruang udara negara itu.
Bahrain pula melaporkan, dron dilancarkan Iran telah menyasarkan sistem navigasi udaranya, namun operasi penerbangan tidak terjejas.
Mengenai serangan AS, agensi berita separa rasmi Iran Tasnim, melaporkan, beberapa bandar menjadi sasaran termasuk Tabriz, Chabahar, Konarak, Bandar Mahshahr dan Bandar Imam Khomeini.
Media kerajaan Iran turut melaporkan, dua kapal tangki minyak meletup ketika cuba merentasi Selat Hormuz.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa, kedua-dua kapal itu menggunakan laluan selatan selat berkenaan yang disifatkan sebagai “tidak selamat dan berbahaya”, sebelum berlaku letupan yang menyebabkan kapal terbabit terhenti.
Bagaimanapun, Komando Pusat AS (CENTCOM) menafikan dakwaan berkenaan.
IRGC turut memberi amaran bahawa Selat Hormuz “tidak akan selamat untuk transit produk petrokimia, malah setitis minyak dan gas sekali pun” selagi serangan AS diteruskan.
Malah, pasukan itu menegaskan akan melaksanakan apa yang disifatkan sebagai “operasi hukuman” sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington.
Pada hujung minggu lalu, AS mengesahkan seorang anggota tenteranya terbunuh dalam serangan Iran di utara Iraq pada Sabtu.
Perkembangan itu berlaku selepas dua lagi anggota tentera AS dilaporkan maut dalam serangan berasingan terhadap sebuah pangkalan tentera di Jordan pada Jumaat.
Pentagon mengenal pasti mangsa sebagai Prebet Isabella Gonzales, 19, dan Leftenan Tyler James Feehan, 25.
Seorang lagi anggota tentera dilaporkan hilang selepas serangan di Jordan.
Pegawai AS memaklumkan, beberapa “sisa mayat yang belum dikenal pasti” ditemukan dalam operasi pencarian yang sedang dijalankan.
Ketika serangan berbalas terus memuncak sepanjang hujung minggu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menegaskan, Washington masih terbuka kepada penyelesaian diplomatik.
Pada masa sama, beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu menentukan sama ada laluan perairan strategik itu harus dibiarkan berada di bawah kawalan Iran.
Menurut Rubio, Tehran menggunakan Selat Hormuz - antara laluan perkapalan terpenting dunia sebagai alat tekanan dalam pertikaian yang sedang berlangsung.
Kenyataan itu dibuat ketika perjanjian awal yang dicapai pada pertengahan Jun bagi menghentikan konflik dilihat semakin rapuh, manakala rundingan ke arah perjanjian damai kekal tidak menunjukkan perkembangan ketara selepas Trump mengisytiharkan perjanjian tersebut “sudah berakhir” pada 8 Julai lalu. - Agensi