Skip to main content

Malaysia

Tiada konflik kepentingan penganugerahan kontrak THiJARI kepada Cyber Village - Zulkifli

Zulkifli berkata semakan profil pegangan syarikat turut dilaksanakan dalam proses perolehan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan. - Gambar fail/BERNAMA
Zulkifli berkata semakan profil pegangan syarikat turut dilaksanakan dalam proses perolehan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak pembangunan platform digital THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada Cyber Village Sdn Bhd pada 2019, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata kontrak itu dianugerahkan menerusi proses tender yang melibatkan enam vendor dan mengikut peraturan perolehan Tabung Haji (TH).

“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd kerana pemilik atau pengarah syarikat tersebut tiada hubung kait dengan kepimpinan TH dan terpilih melalui tender dengan kos projek yang paling kompetitif,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Advertisement

Zulkifli menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu jika TH menjalankan semakan konflik berkepentingan berhubung kontrak itu dan sama ada dapatan semakan itu pernah diaudit atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata semakan profil pegangan syarikat turut dilaksanakan dalam proses perolehan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Advertisement

Beliau berkata kontrak pembangunan sistem THiJARI dianugerahkan kepada Cyber Village berdasarkan kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH selain menawarkan kos projek paling kompetitif.

Platform THiJARI dibangunkan selaras dengan usaha TH menambah baik penyampaian perkhidmatan melalui aplikasi digital dan platform dalam talian yang telah dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit sejak 2020.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement