INTERNATIONAL
Amaran Narendra Modi: “India akan balas serangan pada masa depan”

Narendra Modi memberi amaran bahawa negaranya akan bertindak balas dengan tegas jika berlaku serangan pengganas pada masa akan datang, susulan pertukaran serangan ketenteraan selama empat hari antara India dan Pakistan. - Gambar fail Reuters
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi amaran bahawa negaranya akan bertindak balas dengan tegas jika berlaku serangan pengganas pada masa akan datang, susulan pertukaran serangan ketenteraan selama empat hari antara India dan Pakistan.
Dalam ucapan awam pertamanya sejak konflik rentas sempadan bermula, Modi berkata: “Ini bukan era peperangan, tetapi ini juga bukan era keganasan.”
Kenyataan itu hadir selepas serangan militan di Kashmir yang ditadbir India mengorbankan 26 nyawa.
India menuduh kumpulan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang, namun Islamabad menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam insiden tersebut.
Gencatan senjata yang diselenggara Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu dilaporkan masih bertahan, walaupun kedua-dua negara nuklear itu terus berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Jika berlaku lagi serangan pengganas terhadap India, tindak balas tegas akan diberikan,” kata Modi pada Isnin.
Beliau turut menyatakan, rundingan perdagangan tidak boleh berjalan seiring dengan keganasan: “Keganasan dan rundingan perdagangan tidak boleh berlaku serentak.”
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden AS, Donald Trump, yang sebelum ini menegaskan, perdagangan dengan kedua-dua negara hanya akan diteruskan jika konflik dihentikan.
Modi turut menyentuh isu perjanjian air antara India dan Pakistan, dengan berkata: “Air dan darah tidak boleh mengalir bersama.”
Pada Sabtu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, negaranya telah bertindak sebagai negara yang bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa “maruah, harga diri dan kehormatan lebih penting daripada nyawa.”
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa isu air dapat diselesaikan melalui rundingan aman.
Pada hari sama, pegawai tertinggi tentera dari kedua-dua negara membincangkan butiran teknikal gencatan senjata yang dipersetujui, termasuk keperluan untuk mengelakkan tindakan agresif dan pengurangan kehadiran tentera di kawasan sempadan.
India juga mengumumkan pembukaan semula 32 lapangan terbang awam yang sebelum ini ditutup atas faktor keselamatan.
Ketegangan terkini ini adalah episod terbaharu dalam persaingan panjang antara India dan Pakistan, yang telah menyaksikan dua peperangan berhubung wilayah Kashmir, yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak mendakwa mencatat kejayaan ketenteraan selepas gencatan senjata dikuatkuasakan. India mendakwa melancarkan serangan terhadap sembilan sasaran militan di wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan, dengan lebih 100 militan terbunuh.
Tentera India turut melaporkan menyerang 11 pangkalan udara Pakistan, termasuk satu di Rawalpindi, serta menyebabkan kehilangan nyawa seramai 35 hingga 40 orang di Garisan Kawalan (LoC).
India turut mengesahkan kehilangan beberapa pesawat dalam konflik tersebut.
Pakistan pula mendakwa telah mengebom kira-kira 26 kemudahan ketenteraan di India dan berjaya menembak jatuh lima pesawat India termasuk tiga jet pejuang Rafale.
Namun, India tidak mengesahkan angka tersebut.
Pakistan turut menafikan menahan seorang juruterbang India dan India dalam kenyataan balas menyatakan bahawa kesemua juruterbang mereka telah pulang ke tanah air. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami